Skip to main content

Dunia

Lelaki 21 tahun didakwa rancang serangan ketika konsert Taylor Swift di Vienna

81687669095_TaylorSwift.jpg
Pihak pendakwa raya Austria pada Isnin memfailkan pertuduhan berkaitan keganasan terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa merancang serangan ketika siri konsert Taylor Swift di Vienna pada Ogos 2024. - Gambar fail

VIENNA: Pihak pendakwa raya Austria pada Isnin memfailkan pertuduhan berkaitan keganasan terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa merancang serangan ketika siri konsert Taylor Swift di Vienna pada Ogos 2024.

Menurut kenyataan pendakwa raya Vienna, suspek yang tidak dinamakan itu dipercayai menyatakan sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan menyebarkan bahan propaganda serta video melalui beberapa aplikasi pesanan.

Advertisement

Siasatan turut mendapati suspek mendapatkan panduan dalam talian untuk menghasilkan bom serpihan menggunakan bahan letupan triacetone triperoxide (TATP) — bahan yang sering digunakan oleh kumpulan ekstremis — selain berjaya menghasilkan sejumlah kecil bahan tersebut.

Pendakwa raya memaklumkan, suspek juga beberapa kali cuba mendapatkan senjata secara haram di luar negara sebelum berusaha membawanya masuk ke Austria.

Kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah di Wiener Neustadt, berhampiran Vienna. 

Pegawai pendakwa raya mengesahkan kepada Associated Press bahawa suspek kini ditahan reman. 

Media Austria mengenal pasti lelaki itu sebagai Beran A., yang ditahan pada Ogos 2024.

Susulan ancaman tersebut, pihak berkuasa Austria membatalkan tiga konsert Taylor Swift yang dijadual berlangsung di Vienna pada bulan sama selepas menyatakan mereka berjaya menggagalkan rancangan serangan itu. 

Keputusan berkenaan turut didorong maklumat risikan yang dikongsi oleh Amerika Syarikat.

Menurut jurucakap keselamatan negara White House ketika itu, John Kirby, Amerika Syarikat memang memberi tumpuan terhadap operasi mengekang keganasan dan bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa untuk memantau serta mematahkan ancaman. - Agensi

Must Watch Video