Skip to main content

Dunia

Macklemore sumbang AS$1 juta kepada pertubuhan pro-Palestin hasil jelajah Ed Sheeran

FILE - Macklemore performs at Austin City Limits Live at the Moody Theater during the South by Southwest Music Festival, March 17, 2023, in Austin, Texas. (Photo by Jack Plunkett/Invision/AP, File)
Macklemore berkata kontroversi berhubung penyingkirannya daripada jelajah Sheeran tidak seharusnya mengalih perhatian daripada penderitaan rakyat Palestin. - Foto AP
Advertisement

PENYANYI rap Amerika Syarikat, Macklemore, akan menyumbangkan keseluruhan AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta) hasil bersih penampilannya dalam jelajah Ed Sheeran, Loop Tour, kepada enam organisasi yang membantu rakyat Palestin.

Macklemore turut mencabar taikun Amerika Syarikat, Robert Kraft, untuk memadankan jumlah sumbangan itu.

Kraft, pemilik pasukan New England Patriots, dikenali sebagai penyokong kuat Israel dan merupakan antara penderma utama kepada usaha berkaitan komuniti Yahudi dan Israel. Beliau juga mengasaskan Foundation to Combat Antisemitism pada 2019.

Dalam kenyataan menerusi Instagram pada Rabu, Macklemore berkata kontroversi berhubung penyingkirannya daripada jelajah Sheeran tidak seharusnya mengalih perhatian daripada penderitaan rakyat Palestin.

“Nyawa rakyat Palestin wajar dilindungi. Nyawa seorang rakyat Palestin tidak kurang nilainya berbanding nyawa manusia lain di muka bumi ini,” katanya.

Pemenang Grammy itu berkata sumbangan berkenaan bertujuan menyokong rakyat Palestin yang terjejas akibat perang, selain meningkatkan kesedaran terhadap keadaan yang disifatkannya sebagai penderitaan berterusan di bawah pendudukan ketenteraan.

Beliau turut menegaskan sokongannya terhadap hak rakyat Palestin untuk mendapatkan kebebasan, maruah dan keselamatan di tanah air mereka.

Macklemore berkata bantuan kemanusiaan sahaja tidak memadai untuk menangani keadaan yang menyebabkan bantuan itu diperlukan, sebaliknya perubahan politik segera diperlukan.

Beliau turut menyatakan akan terus bersuara bagi pihak rakyat Palestin dan perjuangan mereka untuk pembebasan.

Macklemore turut merujuk kematian seorang remaja Palestin berusia 15 tahun, Muhammad al-Zinati, yang menurutnya terbunuh dalam serangan Israel ketika cuba membantu seorang pekerja bantuan yang cedera.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyeru orang ramai supaya tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin apabila perhatian media beralih kepada isu lain.

“Free Palestine,” tegasnya. 

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Macklemore digugurkan daripada pusingan jelajah stadium Sheeran di Amerika Utara susulan kontroversi berhubung kenyataan pro-Palestin yang dibuatnya ketika konsert di New Jersey.

 

 

Must Watch Video

Advertisement