LONDON: "The Odyssey" mengatasi "Jurassic World" sebagai filem Universal Pictures dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman hanya beberapa bulan selepas ditayangkan, lapor PA Media/dpa.
Filem pecah panggung yang ditayangkan pada 17 Julai itu merupakan adaptasi epik Yunani purba karya Homer dan menampilkan Matt Damon sebagai Odysseus, Raja Ithaca dari Yunani, dalam perjalanan pulang selama 10 tahun yang penuh bahaya selepas Perang Trojan.
Filem yang mendapat ulasan positif daripada pengkritik itu meraih kutipan lebih US$1.677 bilion di seluruh dunia, mengatasi filem pengembaraan "Jurassic World" pada 2015 untuk menjadi filem Universal dengan kutipan tertinggi setakat ini.
"Jurassic World", yang dibintangi Chris Pratt dan Bryce Dallas Howard, meraih kira-kira US$1.671 bilion di seluruh dunia sepanjang tayangannya di pawagam.
"The Odyssey" dijangka meraih kutipan US$1.685 bilion di seluruh dunia hujung minggu ini, menjadikannya filem ke-12 dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman dan filem bukan francais ketiga dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.
Ia juga merupakan filem dengan kutipan tertinggi dalam kerjaya Christopher Nolan selepas meraih lebih US$1 bilion di box office global kurang sebulan selepas ditayangkan.
Nolan, 56, menulis dan mengarahkan "The Odyssey", selain menerbitkan filem itu bersama isterinya Emma Thomas.
Pengerusi NBCUniversal Entertainment Donna Langley berkata: "Apa yang dihasilkan Chris dan Emma akan dikenang sebagai antara filem paling bercita-cita tinggi dan dilaksanakan dengan cemerlang dalam sejarah perfileman.
"Satu fenomena generasi yang menghidupkan kembali pengalaman menonton filem di pawagam."
Nolan, pembikin filem pemenang Oscar, pernah mengarahkan filem pecah panggung seperti "Tenet", "Dunkirk" dan "Interstellar", selain filem Batman pada 2012, "The Dark Knight Rises", yang sebelum ini menjadi filem dengan kutipan tertinggi dalam kerjayanya.
"The Odyssey" ialah filem epik berdurasi tiga jam yang menampilkan barisan pelakon ternama termasuk Damon, Anne Hathaway, Robert Pattinson, Charlize Theron, Lupita Nyong'o, Tom Holland dan Zendaya.
Filem pecah panggung itu muncul di tangga teratas carta seluruh dunia ketika mula ditayangkan dan kekal di kedudukan itu selama dua hujung minggu berturut-turut di pasaran domestik dan antarabangsa.
Filem itu baru-baru ini kembali menduduki tangga teratas di peringkat global pada minggu kelapan tayangannya.
"The Odyssey" juga merupakan satu daripada tiga filem Universal yang meraih kutipan US$1 bilion di seluruh dunia tahun ini, bersama-sama "The Super Mario Galaxy Movie" dan "Michael".
"The Odyssey" dilaporkan mempunyai bajet penerbitan US$250 juta, tidak termasuk kos pemasaran, menjadikannya antara filem paling mahal dalam kerjaya Nolan.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa