SEOUL: Polis Korea Selatan mengenakan larangan perjalanan ke atas seorang pelatih warga Jepun bagi sebuah kumpulan lelaki K‑pop susulan dakwaan penipuan, menurut laporan agensi berita Yonhap.
Balai Polis Yeongdeungpo, Seoul, baru‑baru ini menghalang pelatih berkenaan daripada meninggalkan Korea Selatan selepas agensi pengurusan kumpulan itu memfailkan aduan, berhubung dakwaan beliau pernah menandatangani kontrak dengan syarikat lain sebelum ini.
Advertisement
Menurut polis dan pihak agensi, lelaki berkenaan, yang identitinya dirahsiakan, telah meninggalkan kumpulan enam anggota itu pada Disember lalu, kira‑kira dua bulan sebelum debut rasmi mereka, dengan alasan berlakunya “kehilangan kepercayaan”.
Ketika itu, kumpulan tersebut telah merakamkan video muzik dan melancarkan single pertama mereka di platform penstriman, selain memperkenalkan kesemua enam ahlinya kepada umum.
Kumpulan terbabit kini meneruskan aktiviti sebagai lima anggota tanpa pelatih dari Jepun tersebut.
Agensi pengurusan itu kemudiannya mendapati pelatih berkenaan telah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat pengurusan lain sebelum meninggalkan kumpulan tersebut, namun beliau turut dikatakan melanggar perjanjian dengan syarikat kedua itu.
“Individu ini telah menandatangani kontrak dengan beberapa agensi Korea, menyebabkan mereka menanggung kos besar, sebelum menghilangkan diri sejurus sebelum kumpulan membuat penampilan sulung,” menurut agensi berkenaan.
Mereka mendakwa pelatih itu mengambil kesempatan terhadap agensi kecil yang mungkin enggan mengambil tindakan undang‑undang kerana faktor kos dan tempoh panjang.
Agensi yang memfailkan laporan polis menganggarkan kerugian sekitar 57 juta won (AS$38,590), termasuk kos latihan, koreografi, rakaman, penggambaran video muzik dan sewaan kediaman kumpulan.
Pihak polis percaya pelatih berkenaan masih berada di Korea Selatan ketika ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Menurut Agensi Kandungan Kreatif Korea (Korea Creative Content Agency, KCCA), seramai 42 daripada 963 pelatih K‑pop yang berdaftar pada akhir 2024 adalah warga asing.
KCCA turut menyatakan bahawa industri K‑pop kini memikul tanggungjawab yang semakin besar dalam pengurusan kerjaya serta perlindungan undang‑undang bagi ahli kumpulan dari luar negara.