ANKARA: Penyanyi dan penulis lagu jazz Amerika Syarikat Cassandra Wilson, antara vokalis paling berpengaruh dalam tempoh empat dekad lalu, meninggal dunia pada usia 70 tahun di bandar kelahirannya di Jackson, Mississippi, lapor Anadolu Ajansi.
Wilson meninggal dunia di rumahnya, dikelilingi keluarga, rakan rapat dan pengurusnya sejak sekian lama, Robert Torre, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu. Punca kematian tidak didedahkan.
“Dengan penuh kesedihan kami mengumumkan pemergian Cassandra Wilson, artis jazz legenda dan pemenang Anugerah Grammy,” kata Torre.
Dikenali dengan suara contralto yang dalam dan melankolik, Wilson mengaburkan batas antara jazz, blues dan muzik folk, sambil menggabungkan unsur pop, country dan R&B dalam karyanya.
Majalah Time menamakan beliau sebagai “Penyanyi Terbaik Amerika” pada 2001, memujinya sebagai penyanyi berjiwa, sensual dan puitis yang meneruskan tradisi vokalis jazz terkemuka.
Datuk Bandar Jackson John Horhn menyifatkan Wilson sebagai “anak tempatan yang luar biasa” dan suara muzik yang tiada tandingan.
“Cassandra Wilson membawa suara, semangat dan sejarah Mississippi bersamanya ke mana sahaja muziknya diperdengarkan,” kata Horhn.
Pemuzik Jon Batiste dalam penghormatan yang disiarkan berkata Wilson “bersuara seperti orang dari Selatan”, sambil menyifatkan tona dan gaya frasa uniknya, serta gabungan muzik folklorik, R&B dan muzik diaspora dengan gaya eksperimental dan popular, sebagai pengaruh besar terhadap dirinya.
Dilahirkan sebagai Cassandra Fowlkes di Jackson pada 1955, Wilson mula bermain piano pada usia enam tahun dan mempelajari gitar ketika berusia 12 tahun. Selepas berpindah ke New York City pada awal 1980-an, beliau bertemu pemain saksofon Steve Coleman dan menjadi anggota pengasas M-Base Collective.
Beliau menerima pujian meluas daripada pengkritik menerusi album Blue Skies pada 1988 sebelum menandatangani kontrak dengan Blue Note Records dan mencipta kejayaan besar menerusi Blue Light 'Til Dawn pada 1993.
Album New Moon Daughter memenangi Anugerah Grammy bagi Album Vokal Jazz Terbaik pada 1997, manakala Loverly meraih anugerah kedua dalam kategori sama pada 2009.
Sepanjang kerjayanya, Wilson menerima empat pencalonan Grammy.
Beliau turut menyumbang kepada rakaman artis seperti Steve Coleman, Gregory Osby, Luther Vandross, Regina Carter, Angelique Kidjo, John Legend dan Ravi Coltrane. Beliau juga tampil dalam album The Roots, Do You Want More?!!!??! dan Illadelph Halflife.
Wilson merupakan antara vokalis utama dalam oratorio Blood on the Fields karya Wynton Marsalis, yang menjadi komposisi jazz pertama memenangi Hadiah Pulitzer bagi Muzik pada 1997.
Pada 2015, Wilson memperingati ulang tahun ke-100 kelahiran Billie Holiday menerusi persembahan khas di Apollo Theatre, New York. Pada tahun sama, beliau menerbitkan Coming Forth by Day, sebuah album penghormatan kepada Holiday dan album studio terakhirnya.
Beliau kemudiannya menyertai Black Thought, Elvis Costello, DJ Premier, T Bone Burnett dan Nathaniel Rateliff dalam projek kumpulan super yang merentasi pelbagai genre, Dopamine.
Wilson dinamakan sebagai National Endowment for the Arts Jazz Master pada 2022, antara penghormatan tertinggi yang diberikan kepada pemuzik jazz di Amerika Syarikat.
-- BERNAMA-ANADOLU