Skip to main content

Dunia

Punca kematian remaja ditemui dalam kereta penyanyi D4vd didedah

A photo of Celeste Rivas Hernandez is displayed Monday, April 20, 2026, in Los Angeles for a press conference regarding the case of singer D4vd, who was charged on suspicion of killing the 14-year-old girl whose dismembered body was found in his car. (AP Photo/Damian Dovarganes)
Celeste Rivas Hernandez meninggal dunia akibat “kecederaan menembusi berganda” yang berpunca daripada objek yang tidak didedahkan. - Foto fail/AP

LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) akhirnya mendedahkan punca kematian seorang remaja perempuan yang ditemui mati dalam but hadapan sebuah kereta milik penyanyi dan bintang TikTok, D4vd, selepas berbulan-bulan spekulasi dan kelewatan.

Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles pada Rabu memaklumkan bahawa Celeste Rivas Hernandez, 14, meninggal dunia akibat “kecederaan menembusi berganda” yang berpunca daripada objek yang tidak didedahkan.

Advertisement

Kematian remaja itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan.

Mayat Celeste ditemui pada September lalu dalam ruang simpanan hadapan (frunk) sebuah kereta Tesla yang didaftarkan atas nama D4vd, 21.

Penyanyi itu, yang nama sebenarnya David Anthony Burke, kini berdepan beberapa pertuduhan berkaitan kematian remaja berkenaan, termasuk pembunuhan.

Burke telah mengaku tidak bersalah, manakala barisan peguamnya berikrar akan mempertahankan beliau dengan tegas.

“Kami percaya bukti sebenar akan menunjukkan bahawa David tidak membunuh Celeste dan beliau bukan punca kematiannya.

"Kami akan mempertahankan kebebasan David dengan bersungguh-sungguh,” kata peguamnya Blair Berk, Marilyn Bednarski dan Regina Peter dalam satu kenyataan.

Menurut pihak pemeriksa perubatan, punca dan cara kematian telah ditentukan pada 9 Disember, namun tidak dapat didedahkan kepada umum ketika siasatan polis masih berjalan.

Ketua Pemeriksa Perubatan, Dr Odey Ukpo, berkata kelewatan itu amat menyedihkan buat keluarga mangsa.

“Sukar dibayangkan mereka terpaksa menunggu begitu lama untuk mengetahui apa yang berlaku kepada anak mereka,” katanya.

Keluarga Celeste minggu ini mengeluarkan kenyataan awam pertama sejak kematiannya, mengucapkan terima kasih kepada polis, pendakwa raya dan komuniti Lake Elsinore atas sokongan diberikan.

“Celeste ialah seorang gadis yang cantik dan kuat, gemar menyanyi dan menari. Kami amat menyayanginya dan merinduinya,” kata ibu bapanya, Jesus Rivas dan Mercedes Martinez, sambil menegaskan mereka hanya mahukan keadilan buat anak mereka.

Pendakwa Raya Daerah Los Angeles, Nathan Hochman, berkata Celeste pergi ke rumah Burke di Hollywood Hills pada 23 April 2025 dan selepas itu “tidak pernah dilihat lagi”.

Laporan orang hilang dibuat pada April, namun mayatnya hanya ditemui pada September, dan lebih tujuh bulan kemudian barulah Burke ditahan.

Ketua Polis Los Angeles, Jim McDonnell, mempertahankan pengendalian siasatan dan kelewatan tangkapan, dengan menyatakan keadaan mayat mangsa serta tempoh masa yang panjang sebelum penemuan telah menyukarkan penentuan punca kematian dan pengumpulan bukti.

Sejak mayat remaja itu ditemui tahun lalu, Burke dikatakan mengundurkan diri daripada penampilan awam, dengan jelajah dunianya dibatalkan dan beberapa perjanjian komersial turut ditamatkan.

Kes itu kini diteruskan di mahkamah, dengan pihak berkuasa menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut agar tampil membantu siasatan.
 

Must Watch Video