KUALA LUMPUR: Peminat Red Velvet di Malaysia, khususnya ReVeluv, bakal disajikan sebuah malam istimewa apabila ahli kumpulan popular K-pop itu, JOY, bakal tampil dengan konsert solonya di ibu negara pada 25 April 2026.
Konsert yang membawa judul 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH” itu akan berlangsung di ZEPP Kuala Lumpur pada jam 8 malam, dianjurkan oleh Zues Event Sdn. Bhd.
Advertisement
Kuala Lumpur merupakan salah satu destinasi penting dalam siri jelajah Asia tersebut, yang menandakan bab baharu dalam perjalanan muzik solo artis berkenaan.
Menurut penganjur, persembahan itu dijangka menawarkan pengalaman audio-visual yang lebih imersif dengan produksi pentas bergaya, segmen interaktif dan susunan persembahan eksklusif khas untuk peminat tempatan.
JOY turut dijangka mempersembahkan rangkaian lagu popular selain beberapa kejutan istimewa yang disediakan khusus buat ReVeluv Malaysia.
Selain itu, konsert berkenaan turut menawarkan pelbagai fan benefits eksklusif, sekali gus memberikan peminat peluang lebih dekat untuk berinteraksi dengan artis tersebut.
Jualan tiket bagi 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH” dijangka menjadi antara detik paling dinanti peminat K‑pop di Malaysia apabila ia dibuka secara rasmi pada 7 Mac 2026, tepat jam 12 tengah hari.
Empat kategori tiket ditawarkan - RM698, RM598, RM498 dan RM398 - memberi peluang kepada peminat memilih pengalaman yang paling sesuai, sama ada mahu berada dekat dengan pentas atau sekadar menikmati atmosfera persembahan penuh tenaga JOY.
Dengan populariti luar biasa ahli Red Velvet itu, penganjur menjangkakan jualan tiket berjalan pantas, malah tidak mustahil beberapa kategori bakal ‘sold out’ dalam tempoh singkat.
Peminat boleh mendapatkan tiket secara eksklusif melalui laman sesawang etix.my, dan dinasihatkan untuk bersedia lebih awal memandangkan trafik tinggi dijangka berlaku sebaik sahaja jualan dibuka.
ReVeluv, bersiap sedialah - detik untuk merebut tempat ke malam yang penuh pesona semakin hampir!