KUALA LUMPUR: KITA FM mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBoR) bagi kategori 'Longest Cumulative Distance Covered in an Outdoor Running Campaign'.
Ia diperoleh menerusi kempen KITA FM Satu Suara Satu Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia ke-63, hasil penganjuran larian komuniti yang melibatkan semua 13 stesen radio di bawah Astro Audio.
Larian itu mencatatkan jarak kumulatif sejauh 63 kilometer (km), sekali gus menjadi simbolik kepada sambutan Hari Malaysia ke-63.
Pengarah Astro Audio Priya Dharshini Prabakaran berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen KITA FM dalam mendekati masyarakat sambil menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, setiap langkah yang diambil sepanjang kempen itu melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia, sejajar dengan tema yang diketengahkan tahun ini.
“Kami amat berbangga menerima pengiktirafan MBoR menerusi kempen yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kempen berkenaan mendapat sokongan Hurix, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel dan BHPetrol serta menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi gabungan siaran luar, larian komuniti, persembahan hiburan dan aktiviti kemasyarakatan.
Antara acara utama, setiap stesen radio Astro Audio menganjurkan larian komuniti di negeri masing-masing dengan jarak antara tiga dan lima km, membolehkan ribuan pendengar mengambil bahagian secara serentak di seluruh negara.
Selain mempromosikan gaya hidup sihat, program itu turut menjadi platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum, usia dan latar belakang menerusi aktiviti yang mencerminkan semangat perpaduan dan muhibah.
Kempen KITA FM Satu Suara Satu Malaysia bermula dengan siri siaran luar pada 29 Ogos sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum diteruskan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu.
Program itu kemudian diperluaskan ke beberapa negeri menerusi pelbagai aktiviti bersama pendengar dan komuniti setempat.
Selain larian komuniti, KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru yang memberi peluang kepada pendengar berinteraksi lebih dekat dengan personaliti radio kegemaran mereka.
Dalam usaha memberi manfaat kepada masyarakat, KITA FM juga melaksanakan program penggantian topi keledar secara percuma di lima lokasi terpilih iaitu Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
Priya berkata kejayaan itu membuktikan hubungan kukuh yang terjalin antara Astro Audio dan jutaan pendengarnya yang sentiasa menyokong setiap inisiatif dianjurkan.
Katanya, sambutan luar biasa yang diterima di setiap lokasi menunjukkan radio masih mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia serta berupaya menjadi medium yang menyatukan masyarakat.
Pengiktirafan MBoR itu sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting buat Astro Audio dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta membawa pengalaman radio yang lebih dekat, relevan dan bermakna kepada rakyat Malaysia.