SETIAP kali Ramadan memasuki fasa akhir, ruang digital di Malaysia akan dibanjiri lagu raya baharu. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, cara masyarakat menikmati lagu raya telah berubah dengan ketara. Lagu tidak lagi hanya dimainkan di radio atau televisyen, sebaliknya hidup sebagai klip 10 hingga 20 saat di TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts.
Fenomena ini melahirkan lagu-lagu yang cepat tular seperti ‘Raya Mana Dulu’, ‘Alamak Raya Lagi’, ‘Ketipak Ketipung Raya’ dan beberapa lagu raya moden lain yang sering menjadi latar video pendek di media sosial.
Advertisement
Lagu ‘Alamak Raya Lagi’ misalnya menjadi fenomena global apabila tarian dan potongan audionya digunakan dalam jutaan video TikTok, bahkan diikuti oleh artis antarabangsa dan komuniti luar negara.
Perubahan ini menimbulkan persoalan menarik: adakah lagu raya hari ini masih sebuah karya budaya yang mendalam, atau sekadar bahan “algoritma” untuk menjadi trend?
Strategi Populariti
Dalam ekosistem media sosial, lagu tidak lagi semestinya popular kerana keseluruhan komposisinya. Sebaliknya, kejayaan sering ditentukan oleh “hook” paling pendek yang boleh menjadi trend video.
Sebagai contoh, lagu ‘Alamak Raya Lagi’ menjadi tular (viral) bukan hanya kerana melodinya, tetapi kerana cabaran tarian yang mudah ditiru dan sesuai untuk video pendek.
Potongan audio seperti “alamak, alamak, alamak” menjadikannya bahan sempurna untuk kandungan TikTok; ringkas, lucu dan mudah diulang. Inilah logik algoritma media sosial: semakin mudah ditiru, semakin besar peluang ia menjadi trend.
Fenomena ini juga menyebabkan sesetengah lagu raya direka dengan formula tertentu iaitu rentak rancak, lirik ringan dan satu bahagian “chorus” yang mudah disunting menjadi klip viral.
Trend TikTok Raya: Daripada Komunikasi Keluarga ke Kandungan Tular
Di TikTok, lagu raya kini bukan sekadar didengar, tetapi dipersembahkan semula sebagai kandungan.
Trend yang popular termasuklah cabaran tarian raya menggunakan lagu seperti Alamak Raya Lagi. Disusuli pula dengan video komedi keluarga raya contohnya adegan kelam kabut persiapan raya.
Kemudian dengan “POV raya” seperti dilema balik kampung atau rumah mentua dulu dan trend outfit Raya transformation – sebelum dan selepas bersiap untuk Syawal.
Menariknya, banyak video ini sebenarnya dirakam dalam konteks keluarga sendiri di ruang tamu, dapur atau halaman rumah. Namun kemudiannya dikongsi dalam media sosial sebagai kenangan bersama. Dalam erti kata lain, budaya raya kini turut dipersembahkan kepada khalayak digital.
Sebahagiannya menjadi begitu popular sehingga diulang kongsi dan ditiru semula. Fenomena ini menunjukkan bagaimana kandungan raya kini menjadi sebahagian daripada ekosistem hiburan digital negara.
Antara Hiburan Viral dan Kritikan Nilai
Namun fenomena ini turut mencetuskan perbincangan dari pelbagai perspektif.
Sesetengah pihak melihat trend lagu raya viral sebagai terlalu ringan atau sekadar gimik media sosial. Malah terdapat teguran daripada tokoh agama dan masyarakat yang mengkritik beberapa trend tarian raya yang dilihat kurang sesuai dengan batas agama, adab budaya atau nilai kesopanan.
Perdebatan ini menunjukkan satu lagi perkara penting: lagu raya bukan sekadar hiburan, tetapi simbol budaya dan identiti masyarakat. Maka apabila ia dipersembahkan dengan corak dan medium yang kurang bersesuaian, ia menjadi sensetif kerana lagu raya dianggap karya budaya yang dimiliki bersama.
Apabila lagu raya semakin dibentuk dan ditentukan oleh kuasa viral, wujud kebimbangan bahawa unsur sentimental seperti kerinduan pulang ke kampung, memohon maaf atau nilai kekeluargaan mungkin semakin terpinggir atau terus terhakis.
Masa Depan Lagu Raya dan Evolusi Algoritma
Trend lagu raya di TikTok tidak semestinya menandakan kemerosotan budaya, sebaliknya boleh dianggap sebagai evolusi kreatif generasi muda dalam meraikan Aidilfitri era digital.
Cabaran utama bagi pengkarya muzik ialah menyeimbangkan keperluan dua kelompok: menghasilkan karya yang sesuai dengan budaya media sosial untuk Generasi Z dan Alpha, sambil mengekalkan nilai emosi dan nostalgia bagi Generasi X dan Y.
Menariknya, tidak semua trend bersifat hiburan ringan. Lagu ‘Serumpun’ oleh MimiFly misalnya menjadi tular apabila komuniti pekak menterjemahkan liriknya ke dalam bahasa isyarat di TikTok. Fenomena ini membuka ruang inklusif, menjadikan muzik raya bukan sekadar hiburan tetapi juga medium komunikasi yang merapatkan jurang budaya.
Trend sebegini memperlihatkan sisi positif budaya digital – daripada tarian dan komedi kepada usaha memperluaskan akses budaya kepada kelompok yang sering terpinggir. Ia membuktikan bahawa media sosial mampu menjadi jambatan baharu dalam pengalaman menikmati lagu raya.
Karya Budaya Nostalgia Keluarga
Tidak dinafikan, lagu raya yang benar-benar bertahan pula biasanya bukan sekadar viral untuk satu musim. Ia mempunyai naratif kekeluargaan, nostalgia dan rasa kebersamaan yang boleh didengar, malah didendang berulang kali setiap kali Syawal menjelang.
Jika kita menoleh ke belakang, lagu raya pernah menjadi naratif panjang tentang emosi dan pengalaman masyarakat.
Lagu seperti ‘Balik Kampung’ nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad atau ‘Suasana Hari Raya’ oleh Anuar Zain dan Ellina bukan sekadar lagu hiburan, tetapi menggambarkan kisah sebenar kerinduan pulang ke desa, memohon maaf dan kehangatan hubungan keluarga dan kasih sayang yang mendalam.
Lagu-lagu ini hidup selama puluhan tahun kerana ia membina cerita dan emosi yang lengkap. Sesuatu yang tidak pernah boleh dipendekkan oleh algoritma!
Dari perspektif semasa, wajar juga diraikan bahawa media sosial tidak semestinya memusnahkan budaya dan tradisi. Sebaliknya, ia membuka ruang baharu untuk generasi muda mengekspresikan kegembiraan Aidilfitri.
Video keluarga menari ringkas bersama, kandungan persiapan juadah atau gurauan tentang ‘rumah mana dulu’ sebenarnya memperlihatkan dinamika komunikasi keluarga dan kelompok masyarakat yang masih hidup, yang kini dipaparkan kepada khalayak digital.
Mungkin inilah realiti baharu budaya raya: tradisi lama tidak hilang, tetapi hidup berdampingan dengan algoritma. Lagu klasik masih dimainkan di radio dan pusat membeli-belah, sementara lagu viral menguasai ruang telefon pintar dan media sosial.
Dan di antara dua dunia itu, Aidilfitri terus diraikan; sama ada melalui nostalgia yang mendalam, atau sekadar dengan senyuman dan gerakan berkumpulan dalam video 15 saat.
*Rahmahtunnisah Sailin merupakan Pensyarah, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Selangor (UIS).
** Penulisan ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan bidang yang dijalaninya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.