ADA filem yang berusaha terlalu keras untuk membuktikan kehebatannya melalui lakonan dramatik, dialog sarat emosi atau pengarahan yang sentiasa mahu mencuri perhatian.
Namun, BAGA: Esok Untuk Siapa mengambil pendekatan yang berbeza.
Arahan Ariff Zulkarnain tidak terlalu bergantung pada demonstrasi teknik sinematik untuk meyakinkan penonton.
Sebaliknya, kekuatan filem ini terletak pada keupayaannya memberikan ruang kepada cerita, watak dan persekitaran untuk membina makna.
Filem yang membawa pendekatan realisme sosial ini mengajak penonton menyelami kehidupan masyarakat Terengganu melalui konflik generasi muda, kerentanan keluarga, penyalahgunaan dadah dan persoalan kemerosotan nilai kemanusiaan.
Dibintangi Amir Ahnaf sebagai Jani, Amirah Razak sebagai Melur dan Wan Hanafi Su sebagai Pok Awang, filem ini turut menampilkan Idham Maulana sebagai Pok Cech serta Cech Adrea sebagai Ajih.
Ketika menonton filem ini, saya teringat beberapa karya penting dalam sinema Malaysia, khususnya Abang, Tsu Feh Sofiah dan Anak Sarawak arahan Datuk Rahim Razali, Ali Setan (Tan Sri Jins Shamsuddin), Perempuan, Isteri dan ... (Datuk U-Wei Haji Saari), Sayang Salmah (Mahadi J. Murat) serta Layar Lara (Datin Paduka Shuhaimi Baba).
Perbandingan ini bukan bermaksud para pengarah tersebut mempunyai pendekatan yang serupa.
Namun, terdapat persamaan dari segi keyakinan terhadap kekuatan naratif dan pembinaan watak.
Karya yang mempunyai asas penceritaan kukuh tidak semestinya perlu menjelaskan segala-galanya kepada penonton kerana konflik, tindakan dan hubungan antara watak sudah mampu menggerakkan penceritaan.
Realisme sinematik: Kamera sebagai pemerhati kehidupan
Salah satu aspek yang menarik perhatian saya ialah bagaimana Ariff menggunakan persekitaran masyarakat Terengganu sebagai sebahagian daripada pembinaan dunia filem.
Kemiskinan, kehidupan masyarakat sederhana, industri pembuatan batik dan pekerjaan pengusaha perahu penambang bukan sekadar menjadi latar visual, sebaliknya memberikan konteks sosial kepada perjalanan cerita.
Pendekatan ini boleh dibaca melalui pemikiran seorang teori filem dan pengkritik budaya dari Jerman, Siegfried Kracauer yang banyak mengkaji hubungan antara filem, fotografi, masyarakat dan kehidupan moden.
Melalui bukunya Theory of Film: The Redemption of Physical Reality (1960), beliau menghuraikan keistimewaan filem sebagai medium yang mempunyai keupayaan untuk merakam dan memperlihatkan realiti kehidupan manusia serta persekitaran fizikal di sekeliling mereka.
Bagi Kracauer, filem bukan sekadar medium hiburan atau alat untuk menyampaikan cerita.
Sebaliknya, filem mempunyai kemampuan istimewa untuk membawa penonton melihat dengan lebih dekat kehidupan dan realiti yang sering terlepas daripada perhatian.
Melalui rakaman kamera, perkara yang kelihatan biasa seperti kehidupan harian, pekerjaan, persekitaran dan hubungan manusia boleh didedahkan dengan makna yang lebih mendalam.
Dengan kata lain, Kracauer melihat filem sebagai medium yang bukan sahaja menggambarkan kehidupan, tetapi turut membuka ruang kepada penonton untuk memahami dan menghargai realiti dunia yang selama ini mungkin tidak disedari.
Dalam konteks BAGA: Esok Untuk Siapa, pendekatan tersebut dapat dilihat melalui perhatian terhadap ruang pekerjaan dan kehidupan masyarakat setempat.
Industri batik, misalnya, bukan sekadar elemen warisan budaya yang memperindah latar filem.
Proses mencuci dan menjemur kain batik, termasuk kehidupan Melur yang terlibat dalam pekerjaan tersebut, memberikan gambaran tentang ekonomi masyarakat dan kelangsungan perusahaan tradisional.
Begitu juga dengan kehidupan pengusaha perahu penambang yang memperlihatkan hubungan masyarakat dengan sungai sebagai sebahagian daripada sumber rezeki dan kehidupan harian.
Elemen-elemen ini memberikan tekstur kepada dunia filem dan menjadikan Terengganu lebih daripada sekadar latar geografi.
Apa yang saya hargai ialah filem ini tidak menjadikan Terengganu semata-mata sebagai destinasi dengan keindahan landskap untuk tatapan penonton.
Sebaliknya, Ariff membawa kamera mendekati sisi kehidupan masyarakat yang jarang diberikan perhatian dalam representasi visual yang bersifat pelancongan.
Di sinilah kekuatan pendekatan realisme sinematiknya. Kamera bukan sekadar merakam keindahan tempat, tetapi memperlihatkan hubungan manusia dengan pekerjaan, ruang kehidupan dan keadaan sosial mereka.
Kemiskinan yang dipaparkan juga tidak wajar ditafsirkan sebagai penyebab langsung keruntuhan moral atau penglibatan seseorang dalam penyalahgunaan dadah.
Sebaliknya, ia merupakan salah satu dimensi dalam ekosistem sosial yang lebih kompleks, melibatkan kerentanan keluarga, persekitaran, hubungan kemasyarakatan dan pilihan individu.
Lakonan terkawal dan psikologi watak
Kekuatan lain filem ini terletak pada pendekatan lakonannya. Para pelakon tidak kelihatan terlalu berusaha untuk mempamerkan kehebatan teknik masing-masing.
Mereka hadir dengan kefahaman terhadap psikologi, motivasi dan latar kehidupan watak yang dibawakan. Lakonan terasa organik, terkawal dan tidak berlebihan.
Bagi saya, inilah disiplin lakonan yang menarik. Pelakon tidak perlu sentiasa menggunakan intensiti emosi yang tinggi untuk membuktikan bahawa mereka sedang menghidupkan sesebuah watak.
Ada kalanya, reaksi sederhana, jeda dalam dialog dan ekspresi terkawal jauh lebih berkesan dalam menyampaikan konflik dalaman manusia.
Amir Ahnaf sebagai Jani membawa watak seorang anak muda yang membesar tanpa kehadiran ibu dan bapa.
Latar kehidupannya mengundang simpati, khususnya apabila Pok Awang tampil mempertahankan maruah dan memberikan ruang kepadanya untuk diterima dalam masyarakat.
Namun, simpati yang diberikan tidak semestinya menjamin perubahan seseorang. Jani tetap mempunyai pilihan dan tanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukannya.
Melalui watak Melur yang dibawakan oleh Amirah Razak, filem ini mengemukakan persoalan tentang keimanan dan pembentukan akhlak.
Keimanan bukan sesuatu yang diwarisi secara automatik daripada ibu bapa yang beramal. Ia menuntut penghayatan, kesedaran dan pilihan peribadi.
Persoalan ini memberikan lapisan moral kepada naratif, khususnya apabila watak-wataknya berhadapan dengan konflik antara nilai yang dipercayai dengan tindakan yang dilakukan.
Wan Hanafi Su sebagai Pok Awang pula membawa dimensi kemanusiaan melalui watak seorang individu yang mempertahankan maruah Jani.
Kehadiran watak ini memperlihatkan bahawa hubungan kemanusiaan tidak semestinya terbatas kepada pertalian darah.
Simpati, kepercayaan dan tanggungjawab terhadap orang lain juga mempunyai peranan dalam membentuk kehidupan seseorang.
Hubungan Jani dan Melur menjadi antara titik penting dalam perkembangan cerita.
Kehamilan luar nikah dan rancangan Jani untuk menggugurkan kandungan tersebut memperlihatkan bagaimana usaha menyembunyikan satu kesalahan boleh membawa kepada tindakan yang lebih buruk.
Dalam keadaan hilang pertimbangan akibat pengaruh dadah dan tekanan untuk menutup perbuatannya, Jani semakin terperangkap dalam pilihan yang dibuat sendiri.
Dadah dan keruntuhan nilai: Sebuah komentar sosial
Persoalan penyalahgunaan dadah yang dibawa melalui watak Jani, Ajih dan Pok Cech mempunyai kaitan yang signifikan dengan realiti masyarakat Terengganu. Ia bukan sekadar elemen dramatik untuk mencetuskan konflik atau membina ketegangan dalam cerita.
Menurut laporan Bernama pada April 2025 yang memetik data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 12,004 individu direkodkan terlibat dalam penagihan dan penyalahgunaan dadah di Terengganu sepanjang 2024.
Kuala Terengganu termasuk Kuala Nerus mencatatkan 2,948 individu.
Lebih membimbangkan, 56 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan golongan berusia 19 hingga 39 tahun, manakala dadah jenis stimulan seperti pil kuda dan syabu menyumbang 84.6 peratus daripada kes yang dilaporkan.
Angka ini memberikan konteks sosial yang penting untuk membaca konflik dalam filem.
Namun, persoalan yang lebih besar bukanlah mengapa seseorang daripada latar kehidupan tertentu terjebak dengan dadah, tetapi bagaimana penyalahgunaan bahan, kerentanan sosial, kerapuhan hubungan kekeluargaan dan kelemahan pertimbangan individu boleh bertemu dalam satu ekosistem kehidupan yang kompleks.
Saya melihat keberanian Ariff mengangkat persoalan ini sebagai satu bentuk keprihatinan sosial melalui medium sinema.
Dadah tidak sekadar digunakan sebagai alat untuk menjadikan watak-wataknya kelihatan bermasalah.
Sebaliknya, pengaruhnya terhadap pertimbangan dan tindakan manusia menjadi sebahagian daripada konflik dramaturgi yang memperlihatkan kemerosotan tanggungjawab dan pertimbangan moral.
Di sinilah filem ini mempunyai potensi sebagai komentar sosial. Ia membuka ruang untuk kita memikirkan masa depan generasi muda tanpa menjadikan mereka sekadar objek kecaman.
Isu penyalahgunaan dadah memerlukan pembacaan yang lebih luas daripada persoalan baik dan buruk. Ia turut menuntut perhatian terhadap pendidikan, sokongan keluarga, persekitaran sosial, pencegahan dan tanggungjawab masyarakat.
Ruang yang masih boleh diperkukuh
Walaupun filem ini mempunyai kekuatan dari segi pendekatan realisme dan representasi sosial, terdapat beberapa ruang yang boleh diteroka dengan lebih mendalam, khususnya dalam pembangunan psikologi watak Jani.
Latar Jani sebagai anak yang membesar tanpa ibu dan bapa, hubungannya dengan Pok Awang serta penglibatannya dalam penyalahgunaan dadah menyediakan asas dramaturgi yang kuat.
Namun, penerokaan yang lebih terperinci terhadap perjalanan psikologi dan motivasi watak ini boleh memberikan dimensi kemanusiaan yang lebih kompleks.
Penonton bukan semata-mata perlu memahami kesalahan yang dilakukan Jani, tetapi juga menyelami proses bagaimana dia sampai kepada pilihan tersebut.
Ini bukan bertujuan untuk membenarkan tindakannya, sebaliknya membina pemahaman yang lebih mendalam tentang konflik manusia.
Perbezaan antara memahami seseorang dengan membenarkan kesalahannya merupakan ruang penting dalam penceritaan sinematik.
Begitu juga dengan watak Melur dan Pok Awang.
Kedua-duanya mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai watak yang bukan sekadar berfungsi menyokong perjalanan Jani, tetapi mempunyai agensi, konflik dalaman dan pendirian tersendiri.
Pengukuhan dimensi ini akan menjadikan hubungan antara watak lebih seimbang serta konflik moral yang dibawa filem lebih berlapis.
Esok untuk siapa?
Pada akhirnya, tajuk BAGA: Esok Untuk Siapa membawa persoalan yang melangkaui nasib individu dalam cerita. Ia mengajak kita memikirkan masa depan sebuah generasi yang sedang berhadapan dengan pelbagai kerentanan sosial dan krisis nilai.
Siapakah yang bertanggungjawab terhadap masa depan mereka? Adakah keluarga, masyarakat atau institusi yang membentuk persekitaran kehidupan mereka?
Atau adakah masa depan itu akhirnya bergantung pada keberanian setiap individu untuk membuat pilihan dan bertanggungjawab terhadap akibatnya?
Bagi saya, kekuatan filem ini terletak pada keupayaannya menghubungkan kisah peribadi dengan realiti sosial yang lebih luas.
Pendekatan pengarahan Ariff memberikan ruang kepada kehidupan masyarakat untuk menjadi sebahagian daripada naratif, sinematografinya merakam identiti dan persekitaran setempat, manakala lakonannya memberikan kejujuran kepada watak-watak yang dibawakan.
BAGA: Esok Untuk Siapa mungkin tidak menawarkan pengalaman sinematik yang mahu memukau penonton melalui kemegahan visual atau demonstrasi teknik.
Namun, filem ini mempunyai sesuatu yang lebih penting, iaitu keyakinan terhadap cerita dan manusia yang ingin diketengahkan.
Bagi saya, filem yang baik bukan semata-mata diukur melalui seberapa kuat ia meminta perhatian penonton, tetapi sejauh mana ia mampu mengubah cara kita melihat manusia dan masyarakat selepas meninggalkan panggung.
Persoalan yang ditinggalkan filem ini akhirnya bukan sekadar siapa yang akan memiliki hari esok, tetapi apakah yang sedang kita lakukan untuk memastikan hari esok itu masih mempunyai harapan.
* Zahari Hamzah merupakan sarjana Pengajian Persembahan UPSI, pengkritik teater dan filem.
** Ulasan di dalam artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.