KUALA LUMPUR: Artis, DJ dan penerbit muzik tercalon Grammy, Axwell bakal mengadakan persembahan secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 3 Okt ini, bersempena dengan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) 2026 di Malaysia.
Axwell merupakan antara pengasas kumpulan muzik elektronik terkenal Swedish House Mafia dan Axwell Λ Ingrosso.
Menurut kenyataan bersama Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan SIC hari ini, bintang antarabangsa itu melengkapkan lagi barisan artis yang bakal menghiburkan peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Pengumuman itu menyusuli pengesahan bahawa DJ dan penerbit muzik terkenal Martin Garrix, yang mencatat jualan multi-platinum, akan menjadi artis utama konsert selepas perlumbaan pada 4 Okt ini.
Menurut kenyataan itu, pemegang tiket hujung minggu perlumbaan yang membeli tiket sebelum 12 tengah malam esok berpeluang mendapatkan naik taraf tiket bagi menyaksikan persembahan berkenaan.
“Mulai Rabu ini, pemegang tiket boleh mendapatkan naik taraf pada harga USD50 (RM 202.28) seorang bagi konsert Axwell dan AS$100 (RM404.56) seorang bagi konsert Martin Garrix. Tiket berasingan diperlukan untuk setiap konsert,” menurut kenyataan itu.
BIC dan SIC memaklumkan semua naik taraf tiket konsert tertakluk kepada ketersediaan dan ditawarkan berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat berikutan kapasiti terhad lokasi persembahan dan proses naik taraf itu akan dihantar terus kepada pemegang tiket menerusi e-mel.
Peminat yang mahu merebut peluang berkenaan digalakkan membeli tiket hujung minggu perlumbaan sebelum tarikh akhir pada 12 tengah malam esok menerusi laman sesawang BIC di @ bahraingp.com atau talian hotline BIC +973-17450000.
-- BERNAMA