Skip to main content

Hiburan

Gautham Menon jadikan wanita dalam hidupnya sumber inspirasi watak wanita dalam filem

Sumber: BERNAMA
Gautham Vasudev Menon pada sidang media mengumumkan konsertnya di Kuala Lumpur, “Ondra Renda - 25 Years of GVM”, bersempena dengan perjalanan 25 tahunnya dalam industri perfileman India. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengarah filem India, Gautham Vasudev Menon menjadikan wanita yang paling dekat dengannya, terutamanya ibu beliau, sebagai sumber inspirasi utama bagi menterjemahkan watak wanita dalam filem-filemnya.

Pengarah itu berkata, ibunya, dua adik-beradik perempuan serta isteri banyak membentuk cara beliau menulis watak wanita, daripada gerak-geri dan cara mereka bercakap hinggalah sikap serta perspektif mereka.

“Pertama sekali, semua watak mendapat inspirasi daripada ibu saya. Jadi, apabila saya menulis, kebanyakannya berdasarkan cara dia bercakap dan bagaimana dia menyampaikan sesuatu, sikapnya dan segala-galanya.

“Saya juga ada dua adik-beradik perempuan, dan isteri saya yang merupakan sahabat saya sejak sekian lama. Saya banyak mendapat inspirasi daripada mereka,” katanya pada sidang media mengumumkan konsertnya di Kuala Lumpur, “Ondra Renda - 25 Years of GVM”, bersempena dengan perjalanan 25 tahunnya dalam industri perfileman India. 

Turut hadir pada sidang media itu pelakon India, Radhika Sarathkumar.

Mengimbas kembali bagaimana ibunya begitu teliti menilai cara beliau menampilkan wanita di layar, Gautham berkongsi satu babak daripada filemnya Kaka Kaka.

“Saya masih ingat satu babak dalam Kaka Kaka yang menampilkan seorang pelakon wanita dalam sebuah lagu, dan kamera dirakam dari sudut yang agak rendah untuk satu babak tertentu. Apabila dia menonton filem itu, dia bertanya kepada saya, ‘Mengapa kamu letakkan kamera begitu rendah?’

“Jadi, saya sedar bahawa dia sentiasa memerhatikan saya,” katanya.

Gautham berkata, watak seperti Maya dalam Kaka Kaka, Jessie dalam Vinnaithaandi Varuvaayaa dan Meghna dalam Vaaranam Aayiram turut dibentuk berdasarkan wanita dalam kehidupannya.

Konsert pada 10 Okt di The Arc Galeries itu akan menyaksikan Gautham berkongsi kisah serta inspirasi kreatif di sebalik lagu-lagu daripada filem arahannya, selain persembahan secara langsung oleh Karthik, Shruti Haasan, Sathya Prakash, Saindhavi, Paal Dabba, Blaaze, Haripriya dan Krish.

Dianjurkan oleh MyEvents International dan Radaan Mediaworks, konsert itu dijangka menarik lebih 5,000 peminat.

Tiket bagi “Ondra Renda - 25 Years of GVM” boleh didapati menerusi Ticket2U.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement