ISTERI kepada penyanyi rock veteran Dwan daripada kumpulan Olan, Zarina Anuar merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan suaminya yang kini berdepan pelbagai komplikasi kesihatan.
Menurut Zarina, Dwan kini mengalami strok sebelum disahkan menghidap penyakit autoimun yang memaksanya bergantung kepada pengambilan ubat steroid dalam tempoh panjang.
Katanya, kesan daripada pengambilan steroid tersebut menyebabkan hati suaminya rosak selain tulangnya mula mereput.
“Assalamualaikum semua. Saya isteri kepada Abang Dwan.
“Sebenarnya Abang Olan sakit. Dia kena strok, lepas itu dia kena penyakit autoimun. Jadi dia makan steroid dan steroid ini tak boleh dimakan dalam masa yang panjang.
“Sekarang dia dah makan dalam tempoh yang lama, jadi hati dia dah rosak, lepas itu tulang dia pun dah mula reput,” katanya.
Zarina berkata demikian ketika berada di atas pentas acara Jom Santai X Syahmi Sazli 8.0 yang berlangsung di GM Klang baru-baru ini.
Menurutnya, doktor mengesyorkan Dwan mendapatkan rawatan suntikan khas yang memerlukan kos sebanyak RM28,900 bagi tempoh tiga bulan.
“Sekarang doktor arahkan saya untuk sediakan kos sebanyak RM28,900 bagi rawatan suntikan selama tiga bulan." -- Gempak