Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan akan memberi lebih fokus kepada golongan muda pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 tahun ini.

Pengarahnya Datuk Makhtar Mustapha berkata ini bagi menyemai jati diri kebangsaan dalam kalangan golongan muda yang semakin pupus.

"Kita telah merangka beberapa program yang sesuai untuk golongan remaja pada bulan Kemerdekaan ini. Program itu dijangka diadakan selama tiga hari bermula 29 Ogos," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan JPP Kelantan dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini, hari ini.

Majlis itu yang dihadiri kira-kira 1,500 orang dirasmikan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Makhtar berkata lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai acara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 di Kelantan.

Beliau turut menggalakkan rakyat negeri ini untuk mengibarkan Jalur Gemilang bagi menggalakkan rasa cinta kepada negara.

Para pemilik bangunan juga diminta mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Kemerdekaan ini, katanya.