Planet Bumi makin panas. Manusia sebagai penghuninya semacam enggan peduli bahawa suhu planet ini sudah tidak dingin lagi. Hari Bumi yang disambut secara global pada 22 April agak sepi daripada liputan media cetak dan elektronik di negara ini, khususnya. Itu dapat difahami kerana bumi Malaysia hangat dengan bahang pilihan raya.

Malangnya, semakin hangat kempen pilihan raya, makin panas bumi ini. Bagaimana? Lampu, Internet, sampah, penggunaan kertas menyumbang kepada perkara menakutkan ini. Sepanjang dua minggu kempen, sudah pasti bilik-bilik gerakan terang benderang dilimpahi cahaya. Penggunaan Internet juga semakin bertambah. Begitu juga longgokan sampah, akan bertambah, apabila orang yang mendengar ceramah meningkat. Keadaan ini sudah pasti menjadikan pencemaran alam sekitar serius. Kertas pula digunakan secara meluas, sama ada kerana penggunaannya sebagai bahan cetakan maklumat atau kegunaan lain seperti pembungkusan misalnya.

Senario itu belum dicampur dengan keadaan budaya rakyat di negara ini yang cenderung duduk lepak di restoran 24 jam. Penggunaan lampu di tahap maksimum, itu sudah pasti, kerana tidak ditutup dari siang ke malam, malam dan siang semula. Ini sekali gus menyumbangkan kepada kepanasan Bumi. Jangan dilupakan, yang panas perlu didinginkan oleh alat penghawa dingin. Semuanya menggunakan kuasa tenaga yang melepaskan gas karbon dioksida. Dengan banyaknya penggunaan penghawa dingin ini, maka bertambahlah pengeluaran karbon dioksida. Dengan tambahnya karbon dioksida, semakin panas bumi ini, sekali gus bertambah pula sumbangan kepada perubahan iklim.

Hari Bumi

Permulaan Hari Bumi diraikan pada 1970, bergerak di atas iklan disiarkan di The New York Times berbunyi “ Hari Bumi adalah komitmen untuk menjadikan kehidupan yang lebih baik, bukan untuk membina sesuatu yang besar atau pantas….hanya untuk lebih baik”. Iklan itu kemudiannya diterjemahkan kepada tindakan dengan kemunculan gerakan alam sekitar dengan kemudiannya melebar kepada penggubalan undang-undang. Antaranya Amerika Syarikat dan Australia. Maka dengan sebab itu munculnya Green Party.

Malah, kerana sedar mengenai pencemaran alam sekitar secara mega, ia diterima sebagai satu usaha murni menyelamatkan Bumi secara kolektif. Parti Demokrat dan Republikan juga menerima baik usaha menyemai kesedaran alam sekitar sebagai kebimbangan utama untuk dasar mereka.

Perayaan Hari Bumi datangnya bersama kesedaran dan fokus tertentu. Contohnya dorongan keuntungan perniagaan tanpa memikirkan kehidupan manusia keseluruhannya. Hal ini boleh dilihat dengan adanya kumpulan alam sekitar yang memperjuangkan isu membantah pertumpahan minyak, pembuangan sampah, racun, pemiliharaan hutan dan menyelamatkan spesies haiwan pupus. Ia kemudiannya berkembang lagi dengan perjuangan gerakan kitar semula. Menjelang abad baru, fokus pemanasan global dan gerakan tenaga bersih pula mengambil tempat.

Di Malaysia, bukan tiada kesedaran seperti yang berlaku di luar negara. Tetapi caranya dalam kapasiti tersendiri. Contohnya, sambutan Hari Bumi ditandai dengan menanam pokok anjuran FRIM dan menerapkan secara berterusan kesedaran alam sekitar di peringkat sekolah dan rumah masing-masing.

Astro Kasih pecah rekod Guiness

Dalam hal ini, Astro turut memainkan peranan signifikan dalam kempen Hari Bumi dan penjagaan alam sekitar dengan menerusi Astro Kasih. Antara lain, walaupun tujuannya adalah untuk memecahkan rekod, ia secara tidak langsung menggalakkan pembersihan pantai dan dasar laut. Malah, sepanjang cubaan rekod dipecahkan, bertan-tan sampah berjaya dikeluarkan dari dasar laut Pulau Gaya bagi menjaga flora dan fauna di dalamnya.

Berbalik kepada kaitan kempen pilihan raya dan panasnya Bumi ini. Lampu elektrik, Internet dan kemajuan lain banyak mengubah manusia di Bumi ini. Walaupun kewujudannya ada keburukan, ia tidak bermakna perlu bergelap dan tidur sahaja tanpa ambil peduli apa yang berlaku. Tindakan sedemikian adalah tidak adil kepada hak asasi kita sebagai manusia. Ini kerana manusia perlu bangun dan tidur, tinggal dalam keadaan cerah dan gelap, selebihnya perlu mengundi. Perlu mengundi bermakna, perlu ambil tahu mengenai calon dan parti pilihan. Ambil peduli tentang itu semua bererti akses kepada maklumat. Maka putarannya tidak akan lari daripada lampu dan Internet. Namun, keadaan ini juga tidak bermakna, kita perlu menggunakannya secara tidak berhemah.

Berhemah dalam penggunaannya ini boleh diamalkan di rumah. Tenaga dan air misalnya, sepanjang pilihan raya ini boleh dijimatkan di bilik-bilik gerakan semasa ceramah diadakan. Selain itu, pembersihan bilik gerakan, rumah dan persekitarannya termasuk mengurangkan penggunaan bahan-bahan yang menghasilkan sampah turut boleh diamalkan.

Bumi hanya sebuah planet di sebalik banyak lagi bintang yang mengelilingi matahari. Manusia, yang menjadi penghuninya kenal Bumi sebagai sebagai satu-satunya kediamannya yang akan diwarisi untuk generasi akan datang, mengatasi planet-planet lain. Dengan itu Bumi juga yang hendak dipertahankan supaya terus menjadi kediaman yang sihat dan selesa untuk manusia pada masa akan datang. Lebih dari itu, ia jaminan untuk sebuah pilihan raya lagi jika Bumi terus selamat.

Bumi panas, datangnya dengan kesan. Ribut, taufan, banjir hakikat daripada bencana yang datang dengan perlahan-lahan tetapi pasti. Kesan perubahan iklim ini sudah pasti menjejaskan ekonomi dan mutu kehidupan manusia. Nah, satu lagi sebab memastikan Bumi di Malaysia ini terus dingin dalam hangat pilihan raya.