Pelantikan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar sebagai Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) jelas satu tindakan yang amat saya alukan minggu ini.

PFAM adalah ahli gabungan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (Fifpro), yang akan menjaga hak dan kepentingan pemain-pemain dalam kancah Liga Malaysia.

Justeru, jika terdapat kes pasukan yang tidak membayar gaji pemain, sudah pasti PFAM akan membantu dengan membawanya ke Fifpro, sebelum dirujuk ke FIFA.

Syarat untuk PFAM membantu pemain cukup mudah, iaitu pemain-pemain perlu mendaftar sebagai ahli persatuan ini.

PFAM sebenarnya sudah ditubuhkan pada 2009, namun kerana beberapa masalah dalaman ia tidak dapat berfungsi dengan berkesan untuk membantu pemain-pemain.

Pendekatan pertama Hairuddin, sudah pasti untuk menambah bilangan ahli yang ketika ini hanya seramai 160 orang.

Saya berharap, agensi media arus perdana tempatan akan turut memberi sokongan kepada persatuan ini dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pemain-pemain.

Di Indonesia, persatuan mereka dikenali sebagai Angkatan Pemain-pemain Indonesia atau API.

Meskipun bola sepak negara jiran itu masih dibelenggu masalah dalaman, API tetap aktif memperjuangkan kebajikan pemain-pemain, sama ada di Liga Super Indonesia atau Liga Premier Indonesia.

Bekas kapten Indonesia, Ponaryo Astaman pernah memimpin API dan dibantu ikon bola sepak Indonesia, Bambang Pamungkas.

Sebelum ini, tiada persatuan yang mampu membela nasib pemain dan dengan aktifnya semula PFAM, senario ini dijangka berubah.

Saya berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ahli gabungannya akan turut bersikap terbuka dan bekerjasama dengan PFAM, apabila persatuan ini memulakan langkah memperjuangkan hak pemain.

Wakil persatuan pemain di negara maju seperti Sepanyol dan England, memang lantang memperjuangkan hak ahli-ahlinya, sehingga sanggup melakukan mogok daripada beraksi, jika hak mereka tidak diendahkan pengurusan liga.

Saya berharap, PFAM dibawah pimpinan Hairuddin juga akan memainkan peranannya dengan berkesan demi kemajuan bola sepak Negara.

Saya ingin memuji pendekatan pengendali ATM, B.Sathianathan yang memberi sokongan kepada Hairuddin serta beberapa lagi pemainnya untuk memimpin persatuan ini.

“Dalam bola sepak, yang paling penting adalah kebajikan pemain.Sudah pasti saya memberi sokongan sepenuhnya kepada PFAM dan juga pemain-pemain saya yang terbabit dengan persatuan ini,” kata Sathianathan ketika dihubungi baru-baru ini.