Minggu ini, tumpuan terarah kepada kedudukan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang sudah diberi surat pertuduhan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia,FAM.

Namun, Rajagobal dikenakan tindakan dibawah Artikel 18 palang tiga,Kod 458 Tatatertib dan bukannya Artikel 88 seperti yang dilaporkan beberapa akhbar arus perdana.

Apa pun, jika didapati bersalah,Rajagobal tetap akan digantung enam bulan dan didenda RM8,000.

Bagi saya, sekiranya FAM mahu melaraikan ikatan dengan Rajagobal, ia seharusnya berlandaskan kemerosotan prestasi pasukan dan bukannya faktor lain.

Sebagai seorang bekas wartawan akhbar media arus perdana, saya secara peribadi kecewa terdapatnya beberapa akhbar utama tempatan yang tampak mempunyai agenda peribadi apabila melaporkan, mengenai kenyataan yang dibuat Rajagobal terhadap ketiadaan penyerang semulajadi.

Beberapa akhbar arus perdana kemudian terus, mengaitkan pengendali itu dengan Artikel 88, walaupun dia kini berdepan tindakan dengan artikel lain dalam statut FAM.

Seperti yang saya katakan dalam kolum sebelum ini, saya bukan menyebelahi mana-mana pihak, tetapi cuma terkilan dengan laporan beberapa akhbar utama yang tampak seperti mempunyai agenda tersendiri.

Memang tidak dapat dinafikan, hubungan Rajagobal dengan beberapa wartawan arus perdana sedikit diingin kebelakangan ini.

Tetapi, seorang wartawan wajar mengetepikan soal emosi dalam membuat satu laporan dengan telus.

Mengenai prestasi Rajagobal, kemerosotan memang sudah kelihatan sebaik kita menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dengan kegagalan demi kegalan dicatat Harimau Malaya.

Ia bermula dengan kekalahan skuad negara di tangan Singapura, pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dan juga kegagalan di Piala Suzuki AFF 2012.

Saya menyokong kenyataan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini, yang menegaskan kedudukan Rajagobal wajar ditentukan berdasarkan pencapaiannya.

Tidak dinafikan, Rajagobal pernah meraih beberapa kejayaan antarabangsa di peringkat remaja, bawah 23 tahun dan kemudian skuad senior kebangsaan.

Namun, ada kalanya sebuah pasukan memerlukan nafas baru untuk terus melangkah ke depan dan tidak kekal di takuk sama.

Seorang pengendali juga wajar menyedari, jurulatih datang dan pergi kerana ia adalah lumrah dalam bola sepak.

Rajagobal akan menjawab surat pertuduhannya pada 12 April ini dan masa depannya dengan FAM, hanya akan diketahui selepas beliau mengadap Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.