Pinjaman sistem perbankan mencatatkan pertumbuhan dengan kadar sederhana dalam tempoh lapan bulan pertama 2015 dengan jumlah keseluruhan permohonan pinjaman meningkat 0.2 peratus kepada RM536.8 bilion.

Kelulusan pinjaman terkumpul juga kembali positif merekodkan 1.5 peratus pertumbuhan kepada RM260.8 bilion bagi tempoh 8 bulan pertama.

Bagi pinjaman isi rumah, permohonan pinjaman turun 1.3 peratus kepada RM285.1 bilion dengan kelulusan pinjaman juga menurun 9.9 peratus kepada hanya RM144.7 bilion, sementara pengeluaran pinjaman kepada isi rumah turut menurun 0.4 peratus.

Ia hasil langkah kawalan pinjaman oleh bank pusat bagi mengurangkan paras hutang isi rumah.

Jumlah hutang isi rumah meningkat 7.9 peratus pada akhir Ogos 2015 kepada 88.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan perlahan berbanding 86.8 peratus pada akhir 2014.

Pinjaman tidak berbayar negara sehingga Ogos 2015 berada pada 1.2 peratus.