Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat premis yang dimiliki oleh Famirah Sukses Wisata pada Selasa kerana didakwa melakukan kegiatan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen di bawah Seksyen 7(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA).

Bank pusat itu berkata, dokumen dan wang yang berkaitan berjumlah RM139,922.89 telah dirampas semasa serbuan bagi tujuan siasatan.

"Serbuan dilakukan di beberapa tempat di Johor, iaitu Kota Tinggi Pandan di Johor Bahru, Bestari Bestmart di Skudai, TJ Mart di Senai dan Taman Air Biru di Pasir Gudang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bank pusat berkata, semasa operasi berkenaan, 11 pendatang tanpa izin yang disyaki mengendalikan premis itu ditahan dengan kerjasama Jabatan Imigresen kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).Ia berkata, mana-mana individu atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) MSBA boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah. -- Bernama