Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini dengan lebih tinggi akibat pembetulan teknikal selepas menokok sebanyak tiga peratus, didorong oleh langkah rangsangan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), semalam.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FBM KLCI meningkat 36.67 mata kepada 1,256.39 berbanding 1,219.72 sewaktu ditutup pada Khamis.

Selepas menokok 0.82 mata kepada 1,220.54 pagi ini, indeks penanda aras itu bergerak dalam jajaran 1,220.54 hingga 1,256.79 sepanjang sesi dagangan awal.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 625 berbanding 211 manakala 240 tidak berubah, 942 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.02 bilion saham bernilai RM1.27 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, selepas susut hampir 250 mata sejak beberapa minggu lepas, peningkatan semula FBM KLCI itu sememangnya dijangkakan susulan pengumuman langkah rangsangan oleh bank pusat di serata dunia.

Ini termasuk tindakan BNM menurunkan nisbah keperluan rizab berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas.

"Walaupun kami berpendapat bahawa peningkatan semula itu dijangkakan ekoran penyusutan ketara FBM KLCI, namun sebarang kenaikan itu diunjurkan lemah. Oleh itu, pada masa ini, kelemahan yang berterusan itu berkemungkinan besar menyaksikan FBM KLCI cuba mencari paras sokongan pada 1,200. Namun, jika sebaliknya, paras sokongan seterusnya adalah 1,150," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank meningkat 17 sen kepada RM7.25, Tenaga naik 24 sen kepada RM11.56, Public Bank melonjak 82 sen kepada RM13.48 dan IHH susut empat sen kepada RM5.11.

Bagi saham aktif, Sapura Energy untung satu sen kepada 7.5 sen, Hibiscus Petroleum naik tiga sen kepada 29 sen dan Vortex tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 252.43 mata kepada 8,510.22, Indeks FBM Emas Shariah menokok 224.02 mata kepada 9,344.51 dan FBM 70 melonjak 269.19 mata kepada 9,463.45.

Indeks FBMT 100 turut melonjak 245.62 mata kepada 8,460.25 dan FBM Ace naik 167.71 mata kepada 3,367.44.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 2.17 mata kepada 94.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 370.77 mata kepada 11,256.22 manakala Indeks Perladangan menambah 163.93 mata kepada 5,695.96.

-- BERNAMA