Bursa Malaysia Bhd menjangkakan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) esok, hanya akan memberikan kesan yang kecil ke atas urus niaga sekuriti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tajuddin Atan, berkata CBP hanya dikenakan ke atas perkhidmatan yang berkaitan dengan transaksi sekuriti tetapi tidak pada sekuriti itu sendiri.

"CBP tidak akan dikenakan ke atas nilai keseluruhan transaksi sekuriti tetapi hanya pada yuran yang berkaitan dengan urus niaga seperti pembrokeran dan yuran penjelasan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Bursa Malaysia di sini hari ini.

Yuran penjelasan yang dikenakan oleh Bursa Malaysia dicaj pada kadar 0.03 peratus daripada nilai urus niaga dengan maksimum RM200 bagi setiap transaksi, manakala yuran pembrokeran yang dikenakan oleh syarikat broker adalah berbeza mengikut setiap firma.

Ketika bercakap mengenai unjuran pasaran saham, beliau berkata 2015 akan menjadi tahun yang mencabar di belakang keadaan pasaran saham dan harga komoditi yang tidak menentu.

Pasaran saham tempatan bukan sahaja akan berhadapan dengan persaingan serantau yang lebih besar, tetapi juga perlu menangani kesan perubahan syarat kawal selia.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia kekal optimis kerana Malaysia mempunyai rekod prestasi yang terbukti sebagai pasaran yang kukuh dan berdaya tahan, hasil sokongan daripada kekuatan perlindungan pelabur dan rangka kerja tadbir urus korporat yang telah dibina selama ini.

"Faktor-faktor ini akan terus menyokong agenda pertumbuhan dalam pasaran sambil mengekalkan keyakinan dan integriti pasaran," katanya.

Bursa Malaysia juga akan terus menarik penyertaan pelabur runcit bagi mewujudkan keseimbangan dalam pasaran.

Beliau berkata peniaga runcit membawa kepantasan urus niaga ke dalam pasaran manakala pelabur institusi pula menyediakan kestabilan.

Tahun lepas, peniaga runcit menyumbang 25.8 peratus daripada perdagangan sekuriti, manakala penyertaan pelabur institusi tempatan dan pelabur institusi asing, masing-masing berada pada 40 peratus dan 23.6 peratus.