Keuntungan sebelum cukai Airasia Bhd bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2016, meningkat kepada RM2.16 bilion daripada RM215.15 juta dalam tempoh yang sama 2015.

Hasil naik kepada RM6.92 bilion daripada RM6.29 bilion sebelumnya, kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

AirAsia berkata prestasi hasilnya yang lebih baik itu disumbang oleh pertumbuhan penumpang, pendapatan sampingan bagi setiap penumpang yang lebih tinggi dan kenaikan purata tambang, yang naik enam peratus kepada RM167.

Ia berkata faktor muatan tempat duduk bagi tahun kewangan itu ialah 87 peratus, enam peratus lebih tinggi berbanding 2015.

Bagi suku keempat yang berakhir 31 Dis, 2016, keuntungan sebelum cukai syarikat penerbangan tambang rendah itu turun kepada RM349.19 juta daripada RM434.51 juta dalam suku yang sama 2015.

Hasilnya susut kepada RM1.94 bilion daripada RM2.17 bilion sebelumnya.

AirAsia berkata hasil rendah bagi suku tersebut adalah disebabkan penurunan 48 peratus pendapatan pajakan operasi pesawat dan kemerosotan pendapatan sampingan bagi setiap penumpang.

Bagi 2017, AirAsia tetap yakin dengan prospeknya apabila ia terus memperoleh permintaan tinggi dalam kebanyakan sektor, ditambah dengan keadaan harga bahan api yang rendah sekarang.

-- BERNAMA