Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd yakin dengan prestasinya bagi tahun ini dan berhasrat untuk meningkatkan jualan mengatasi 12,045 kenderaan yang dicapai pada tahun lepas.

Naib Presiden untuk Jualan dan Pemasaran, Mark Raine berkata jualan Mercedes-Benz Malaysia telah menokok sebanyak 15 peratus kepada 6,790 unit bagi separuh pertama tahun ini berbanding dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Kami yakin kami berada di landasan yang baik, tetapi petunjuk utama ialah kepuasan pelanggan dengan perkhidmatan dan penguasaan pasaran sebanyak 2.5 peratus," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Pertengahan Tahun 2018 Mercedes-Benz Malaysia.

Sehingga tahun ini, limusin Mercedes-Benz Malaysia yang dihasilkan dalam kilang tempatan iaitu Mercedes-Benz C-, E-, dan S-Class, secara kolektif merekodkan jualan sejumlah 4,322 unit, 18 peratus lebih tinggi berbanding separuh pertama 2017.

Model-model kompak Mercedes-Benz A-Class, B-Class, GLA-Class dan CLA-Class pula mencatatkan jualan 20 peratus lebih tinggi sebanyak 996 unit.

Raine berkata rangkaian SUV Mewah Mercedes-Benz kekal sebagai pemacu pertumbuhan apabila mencatatkan jualan 1,291 unit, manakala koleksi Mercedes-Benz Dream Cars juga merekodkan pencapaian yang signifikan selepas 181 unit dijual.

Untuk separuh kedua tahun ini, Mercedes-Benz Malaysia merancang lebih lima pelancaran baharu.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Claus Weidner berkata usaha bersepadu Mercedes-Benz Malaysia dalam meningkatkan perkhidmatan pelanggan sedia ada, bersama-sama dengan portfolio pemasangan tempatan, titik sentuhan pelanggan yang inovatif dan pengalaman gaya hidup, telah membentuk usaha yang holistik bagi meraih kepuasan pelanggan yang tertinggi.

"Matlamat utama bukan semata-mata untuk menjadi nombor satu dalam pasaran atau memenuhi dakwaan sebagai pembekal kemewahan.

"Fokus kami sebenarnya kepada pelanggan, ini yang paling penting, sejajar dengan usaha kami untuk menyampaikan Pengalaman Pelanggan Terbaik," kata Weidner.

Sementara itu, bahagian pembiayaan automotif Mercedes-Benz Malaysia, Mercedes-Benz Services Malaysia Sdn Bhd (MBSM), baru-baru ini telah melancarkan program bon korporat RM3 bilion bagi mempelbagaikan sumber pendanaannya selepas menjangkakan prospek pertumbuhan dalam pasaran domestik.

Pengarah Urusan MBSM, Mike J Ponnaz berkata pengeluaran pertama sebanyak RM250 juta program bon itu dalam Jun tahun ini telah diambil secara menyeluruh oleh pelabur tempatan.

"Kami jangka RM3 bilion itu akan habis digunakan dalam beberapa tahun akan datang.

"Sekarang ini, program bon tersebut menjadi keutamaan bagi kumpulan, jadi kami bergerak dalam laluan yang kami dan para pemegang kepentingan kami sudah biasa berikutan jaminan daripada pemegang kepentingan Jerman kami. Melangkah ke hadapan, mungkin kami akan mempertimbangkan sukuk," katanya.

- BERNAMA