Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mencatatkan rekod jualan tertinggi dalam sejarahnya dengan peningkatan 56 peratus bagi tahun 2015.

Syarikat tersebut berjaya memecah rekodnya dengan menjual 10,485 kenderaan dan peningkatan ini disumbangkan oleh jualan tinggi bagi limosin keluaran tempatan, model E-Class, C-Class dan S-Class yang meningkat 75 peratus daripada tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden MBM Dr Claus Weidner, sebanyak 7,989 unit kenderaan keluaran tempatan telah terjual tahun lepas yang diterajui oleh hybrid diesel, E-Class (3,383 unit), diikuti oleh C-Class (2,697 unit) dan S400L (1,909 unit) sebanyak 201 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Kenderaan kompak juga terus menunjukkan pertumbuhan jualan yang stabil, naik 21 peratus kepada 2,811 unit dengan model CLA mengungguli jualan dengan 959 unit diikuti A-Class (832 unit) dan GLA (816 unit),” katanya di sidang media prestasi kumpulan tahun 2015 di sini pada Jumaat.

Bercakap mengenai kejayaan MBM, kilang pengeluarannya di Pekan serta perkhidmatan dan rangkaian pengeluar yang kukuh merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“Kilang kami berjaya menghasilkan 7,710 kereta tahun lepas dan ia telah dinobatkan sebagai satu-satunya kilang pemasangan tempatan (CKD) yang berjaya melaksanakan pengeluaran dua syif sejak April tahun lepas,” kata Weidner.

Menurutnya lagi, dengan pelaburan sebanyak RM350 juta, MBM terus menjadi rangkaian kereta premium terbesar di Malaysia dengan 28 pengeluar di seluruh negara.

Sementara itu Naib Presiden Kenderaan Penumpang, Jualan dan Pemasaran MBM Mark Raine berkata suku kedua pada bulan Jun 2015 mencatatkan rekod jualan terbaik sepanjang tahun lalu.

Tambahnya meskipun suasana ekonomi yang suram, beliau yakin harga kenderaannya yang telah dikurangkan sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu mampu memastikan MBM kekal berdaya saing untuk menarik minat pembeli.

Bagi tahun 2016, Raine berkata harga kenderaan keluarannya akan kekal stabil dan tidak akan dinaikkan meskipun nilai Ringgit merosot.