Penggantungan dagangan saham Perak Corporation Berhad (PCB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Bursa Malaysia sejak 9 Mei lepas, disebabkan oleh kegagalan PCB menerbitkan Laporan Akaun Beraudit bagi Tahun 2016 sebelum tempoh yang ditetapkan.

Ketua Bahagian Divisyen Hal Ehwal Perhubungan Kerajaan Sayed Shariffudin Sayed Shamshuddin berkata tempoh akhir yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia untuk menghantar laporan berkenaan ialah pada atau sebelum 30 April 2017.

Katanya kegagalan itu berkait dengan isu-isu perakaunan dan pengauditan yang perlu diselesaikan oleh juruaudit sebelum akaun PCB dapat diluluskan.

"Daripada penelitian PKNP, isu-isu audit ini adalah berkaitan dengan tataurus dan pematuhan juruaudit dan sama sekali tidak melibatkan isu-isu integriti, kedudukan kewangan atau aset PCB yang diyakini mantap serta berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sayed Shariffudin berkata pihaknya dimaklumkan isu akaun beraudit itu akan diselesaikan sebelum hujung bulan ini, dan PKNP akan memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Mesyuarat Agung Syarikat PCB diadakan dalam tempoh yang ditetapkan Bursa Malaysia.

Katanya PKNP yakin isu PCB itu tidak langsung menjejaskan semua perancangan dan pelaksanaan projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh PKNP atau PCB.

--BERNAMA