Inflasi keseluruhan, seperti yang diukur perubahan peratusan tahunan dalam indeks harga pengguna (IHP), sederhana kepada 2.6 peratus pada Mac berbanding 4.2 peratus bulan sebelumnya.

Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, perkembangan itu adalah hasil harga bahan api yang lebih rendah pada bulan berkenaan.

Harga petrol RON95 dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM1.60 seliter pada bulan Mac berbanding RM1.75 pada Februari.

Sementara itu, kadar antara bank terus mencatat trend menurun pada bulan Mac susulan pengurangan keperluan rizab berkanun SRR sebanyak 50 mata asas pada 1 Februari 2016.

Kadar asas purata bank perdagangan secara relatif kekal stabil pada 3.89 peratus pada bulan Mac.

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 7.6 peratus.

Pinjaman perniagaan meningkat 5.2 peratus pada bulan itu mencerminkan pertumbuhan tahunan yang lebih kukuh dalam pembayaran balik pinjaman berbanding dengan pengeluaran.

Sementara itu, pertumbuhan tahunan pinjaman kepada isi rumah terus menurun kepada 6.4 peratus.

Paras permohonan pinjaman yang lebih tinggi daripada perniagaan dan isi rumah diikuti oleh paras kelulusan yang lebih tinggi pada bulan itu.

Pada Mac, ringgit menambah nilai berbanding dengan mata wang utama rakan perniagaan Malaysia.

Pada bulan itu, ringgit berserta mata wang serantau lain menambah nilai berbanding dengan dolar Amerika.

Ini disebabkan terutamanya oleh jangkaan bahawa kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat akan ditangguhkan, sekali gus menyebabkan peningkatan pelaburan dalam pasaran kewangan serantau.

Bagi rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia pula ia berjumlah RM382.1 bilion bersamaan dengan AS $97.2 bilion pada 15 April 2016.

Ini memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan ialah 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.