Syarikat pembuat pesawat komersial Eropah, Airbus telah melancarkan A330neo baharu ke Kuala Lumpur untuk kali pertama semalam.

Penerbangan ini merupakan sebahagian ujian penerbangan yang dijalankan syarikat berkenaan sebelum pesawat baharu ini boleh diiktiraf dan digunakan di pasaran.

Pesawat ujian ini, dicat dengan A330-900 dalam pengendali pelancaran TAP Air Portugal. Ia tiba di KLIA semalam selepas penerbangan tanpa henti selama 12 jam dari ibu pejabat Airbus di Toulouse, Perancis.

Ia akan berpangkalan di KLIA mulai semalam hingga Sabtu untuk menjalankan beberapa penerbangan ujian bagi membuktikan kepada pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, yang ia benar-benar mampu terbang dengan baik. Ini adalah ujian rutin yang diperlukan sebelum pihak berkuasa membenarkan pesawat ini digunakan oleh mana-mana syarikat penerbangan di dunia.

Antara syarikat penerbangan yang telah membuat tempahan, adalah AirAsia X, yang telah menempah sebanyak 66 pesawat jenis A330neo berkenaan.

Menurut Sean Lee, Ketua Komunikasi Airbus (Asia Pasifik), A330neo telah direka untuk beroperasi dengan cekap dan baik bagi penerbangan serantau dan jarak jauh.

"Pesawat ini berkeupayaan untuk terbang dalam jarak jauh, dan boleh terbang sejauh 7,250 batu nautika untuk A330-900.

"Bagi pesawat jenis A330-800, ia boleh terbang sejauh 8,000 batu nautika," ujar beliau lagi. "Ini membolehkan kedua-dua versi untuk mengendalikan perkhidmatan langsung dengan muatan penuh dari Asia Tenggara ke Eropah, termasuk dari Kuala Lumpur ke London tanpa henti.

AirAsia X akan mula menerima pesawat A330neo bermula tahun 2020.