Petronas merekodkan kejatuhan 39 peratus bagi keuntungan bersih kepada RM11.4 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015.

Ia berbanding RM18.8 bilion suku yang sama tahun lepas ekoran dipacu kelemahan harga minyak mentah.

Perolehan Petronas bagi suku berkenaan jatuh 21 peratus kepada RM66.2 bilion berbanding RM84 bilion suku sama tahun sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata volum pengeluaran meningkat lima peratus dipacu operasi di Malaysia dan Vietnam.

"Kami sasarkan purata USD50 setong, bermakna ia perlu berada pada USD50 setong sepanjang tahun. Kita lihat purata harga suku pertama USD54 setong. Ia lebih rendah dari jangkaan kami.

"Kami rasa ia akan di dagangankan dalam jajaran yang sempit untuk suku seterusnya," katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan suku pertama Petronas hari ini.

Sehubungan itu beliau berkata pembayaran dividen kepada kerajaan akan berkurangan kepada RM26 bilion berbanding RM29 bilion tahun lalu.

Menurutnya perbelanjaan modal Petronas (Capex) masih tinggi pada RM70 bilion tahun ini berbanding RM60 bilion pada 2014.

"Capex dan Opex (perbelanjaan operasi) adalah berdasarkan bajet yang diluluskan tahun lepas dan kita sediakan bajet itu pada November atau Disember pada ketika harga minyak pada USD100 setong.

"Apabila ia jatuh, kita semak semula unjuran rancangan kami, dan berdasarkan perubahan itu ia hasilkan potongan 15 peratus Capex dan 24 peratus pada Opex," tambahnya.

Petronas juga membelanjakan RM20 bilion tahun ini bagi proses pengambilalihan menjadikan Capex penuh 2015 pada RM90 bilion.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Zulkiflee berkata Wilayah British Columbia di Kanada serta sekumpulan syarikat diketuai Petronas mencapai satu perjanjian awal berkaitan cukai dan royalti bagi projek gas asli cecair bernilai USD30 bilion di wilayah itu.

Petronas pada Disember menunda keputusan pelaburan akhirnya untuk projek tersebut disebabkan harga minyak mentah yang rendah.

Pada minggu lalu, satu komuniti orang asli British Columbia menolak pampasan bernilai hampir USD1 bilion dari Pasific Northwest yang merupakan konsortium untuk projek tersebut.

"Dengan perkembangan terkini, kami menjangka keputusan pelaburan akhir bersyarat dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.