RHB Banking Group (RHB) menyasarkan pertumbuhan dua digit bagi segmen pinjaman Perniagaan Kecil Sederhana (PKS) untuk tahun ini.

Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Pengarah Perbankan Perniagaan dan Perbankan Transaksi RHB, Amy Ooi Swee Lian, ini berbanding pertumbuhan 12 peratus tahun lepas.

Amy berkata walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar beliau kekal optimis dengan pertumbuhan ini.

"RHB sudahpun mempunyai beberapa inisiatif termasuk inisiatif terbaru kami iaitu jaminan pembiayaan portfolio rantaian bekalan RHB (FSCPG), yang dijangka mendorong pertumbuhan tahun ini," kata Amy.

Tambah beliau pengukuhan PKS di negara ini yang menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 60 peratus tenaga kerja, turut dijangka mendorong pertumbuhan yang positif ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi FSCPG.

Melalui FSCPG, RHB akan bekerjasama dengan CGC untuk menyediakan pembiayaan modal kerja bagi PKS yang tidak mempunyai sokongan cagaran yang secukupnya.

RHB memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi pembiayaan PKS melalui FSCPG.

Sementara itu, CGC menyasarkan 8,650 pinjaman bernilai RM4 bilion diluluskan bagi PKS tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd Zamree Mohd Ishak berkata pada 2015 CGC meluluskan 8,252 pinjaman bernilai RM3.4 bilion.