Kerajaan Persekutuan yang dikemudi Pakatan Harapan diingatkan supaya tidak mengabaikan kemudahan asas rakyat Sarawak menerusi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh, Tan Sri James Masing berkata, peruntukan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan raya, jambatan dan bekalan air bersih perlu diteruskan sekiranya Kerajaan Pusat serius dalam hasrat membangunkan kawasan luar bandar Sarawak.

Malah, Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak menegaskan, peruntukan bagi kajian tanah-tanah adat wajar diteruskan.

“Selain itu penilaian pada hal-hal melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 juga perlu diselesaikan dengan semua pihak berkepentingan (Semenanjung, Sarawak dan Sabah) terlibat secara langsung dalam perbincangan itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.

Tambah Masing, polisi Pakatan Harapan juga perlu mesra sektor komoditi bagi membolehkan harga setimpal untuk pasaran getah, lada dan kelapa sawit.

“Jika semua perkara ini mampu dilaksanakan Kerajaan pusat, saya yakin kawasan luar bandar di Sarawak termasuk di Baleh akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Sementara itu, James berkata, pembayaran tambahan dan insentif akan menggalakkan golongan profesional termasuk doktor dan guru untuk terus berkhidmat di luar bandar.

Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung esok di Dewan Rakyat pada jam 4 petang esok.