Kerajaan perlu memberikan insentif dalam usaha menggalakkan lebih ramai usahawan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan platform e-dagang.

Presiden Dewan Perdagangan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berkata, antara insentif yang dicadangkan adalah menangguhkan cukai digital yang pastinya akan memberi kesan keapda perniagaan dalam talian.

“Dalam fasa PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) ini, kita nampak banyak kedai sudah dibuka, orang mula mengunjungi kedai dan kita akan nampak momentum perniagaan dalam talian akan jatuh.

“Jadi untuk menggalakkan lebih ramai menggunakan platform e-dagang secara berterusan, kita harus beri insentif. Mungkin seperti sebelum ini diwar-warkan akan ada cukai digital, mungkin cukai itu harus ditangguh.

“Juga geran daripada agensi kerajaan terlibat harus dipercapatkan supaya mereka cepat dapat dana untuk kembangkan perniagaan,” katanya dalam sesi Skype bersama Astro AWANI pada Selasa.

Tambahnya, sekiranya inisiatif itu tidak dilakukan, negara mungkin menyaksikan semakin ramai kembali ke perniagaan secara konvensional dalam bulan-bulan akan datang.

Dalam pada itu, Chris Daniel Wong berkata, agensi kerajaan perlu bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk mencari ‘Juara Kampung’ supaya menjadi teladan buat PKS.

Jelasnya, apabila usahawan luar bandar melihat seorang ‘juara’ dilahirkan selepas dilatih, mereka akan ikut contoh tersebut.

“Mereka perlu cari satu 'juara kampung', supaya menjadi teladan, contoh. Apabila PKS nampak ada juara yang telah dilatih berjaya, mereka akan ikut. Kita pernah sebut program ini dalam dua, tiga tahun lepas tapi susulannya kurang bagus.

“Dalam masa ini, apabila mereka (PKS) terpaksa guna e-dagang, kita perlu ada kumpulan yang boleh bawa PKS di desa dan kampung,” katanya.