Tenaga Nasional Bhd (TNB) menandatangani perjanjian baharu pembelian tenaga (PPA) dengan Port Dickson Power Bhd (PDP) bagi melanjutkan operasi loji tenaga PDP selama tiga tahun.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata lanjutan itu yang bermula dari 1 Mac 2016 hingga 28 Feb 2019, dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga menerusi surat kelulusan bertarikh 14 Dis, 2015 kepada PDP.

"PPA baharu itu mengurus hak dan obligasi kedua-dua pihak dalam penjanaan dan penjualan bekalan elektrik, dan untuk PDP menjana kapasiti bagi TNB menerusi loji tenaga kitaran terbuka 436MW di Negeri Sembilan," katanya dan menambah PPA akan memberi impak neutral ke atas pendapatan TNB dalam tempoh tiga tahun.

TNB dan PDP sudah melaksanakan PPA bagi jual beli kesemua kapasiti dan tenaga elektrik yang dijana oleh loji PDP pada 10 Dis, 1993.