Keuntungan sebelum cukai Astro Malaysia Holdings Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari 2017 meningkat kepada RM845.51 juta berbanding RM829.39 juta setahun lalu.

Pendapatan naik kepada RM5.61 bilion berbanding RM5.48 bilion sebelum ini, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata, pendapatan yang lebih tinggi itu sebahagian besarnya disebabkan peningkatan pendapatan iklan, beli-belah dari rumah serta pendapatan lain masing-masing sebanyak RM65.7 juta, RM71.7 juta dan RM4.9 juta.


Mengenai prospek, Astro berkata, ia akan terus melaksanakan strategi utama bagi menambah pendapatan dengan menawarkan konten berbeza dan pelbagai produk dan perkhidmatan.

"Kami akan memberi tumpuan menawarkan konten berkualiti dan pengalaman pengguna lebih baik dengan pelbagai acara sukan serta konten tempatan dan antarabangsa yang terbaik kepada pelanggan kami," katanya. -- Bernama