Pertumbuhan ekonomi global boleh meningkat sehingga RM50 trillion jika wujud keseimbangan antara jantina dalam bidang pekerjaan, lapor Women Matter 2014.

Kadar per kapita di Asia pula boleh melonjak 30 peratus jika penglibatan wanita dalam bidang kerjaya meningkat daripada 57.7 peratus kepada 66.2 peratus.

Bagaimanapun, jurang antara dua jantina itu masih jauh dan Malaysia adalah negara yang paling tidak seimbang dalam hal ini.

Menurut Laporan Jurang Jantina 2017, Malaysia berada di kedudukan 104 daripada 144 negara.

Ini menjadikan Malaysia juga ketinggalan jauh di belakang negara-negara kurang maju seperti Vietnam, Laos dan Myanmar dalam laporan jurang jantina itu.


Menurut Laporan Jurang Jantina 2017, Malaysia berada di kedudukan 104 daripada 144 negara.

Menurut laporan World Economic Forum, penguatkuasaan undang-undang dilihat dapat merapatkan jurang jantina selain penekanan terhadap isu-isu seperti anti-diskriminasi dan gangguan seksual.

Selain itu, bagi Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad, cabaran utama wanita di tempat kerja ialah untuk menyakinkan rakan sekerja lain bahawa cadangan atau keputusan yang diambil mereka adalah yang terbaik.

“Sebagai penjawat awam tiada soal wanita atau lelaki. Apa yang penting ialah rasa tanggungjawab," jelas Suriani.

Sementara itu, bagi primadona Indonesia dan Duta UNICEF Christine Hakim pula, isu kesamarataan jurang jantina ini bukan untuk memenangkan wanita sebaliknya mencari peluang bagi kedua-dua jantina saling menyokong antara satu sama lain.

“Kita tidak seharusnya percaya kepada dikotomi yang menyatakan wanita dan lelaki perlu setanding, itu adalah salah. Ya, lelaki dan wanita adalah tidak sama tetapi setiap dari kita memainkan peranan penting untuk terus menyokong antara satu sama lain.

“Bahkan, jika kaum wanita tahu menggunakan keupayaan yang dimiliki, pasti kita akan lebih maju berbanding lelaki,” katanya selepas ditemui dalam Persidangan ROSE anjuran Astro AWANI.