Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dan ribuan lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Selatan California pada Selasa apabila berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang luar biasa.

Tanah runtuh dilaporkan berlaku terutamanya di kawasan cerun di mana satu siri kebakaran hutan terjadi bulan lalu, memusnahkan kawasan tanaman yang dilindungi.

Hujan turun dengan lebat awal pagi Selasa selepas ribuan penduduk Santa Barbara County di kawasan pantai Los Angeles diarahkan berpindah.

Bagaimanapun, menurut jurucakap Jabatan Bomba Santa Barbara, Amber Anderson, hanya kira-kira 10 hingga 15 peratus yang mematuhi arahan mandatori itu.

BACA: Angin kencang semarakkan 'Thomas Fire' di California

BACA: Kebakaran: California kini bagaikan "neraka dunia"


Petugas kecemasan, menggunakan anjing dan helikopter, berusaha menyelamatkan berpuluh-puluh orang yang terkandas di dalam runtuhan, katanya.

Tanah runtuh menumbangkan pokok dan memusnahkan kereta, manakala banjir lumpur yang tebal melanda blok-blok rumah, kata Sheriff Santa Barbara County, Bill Brown, pada satu sidang akhbar.

"Paling tepat untuk saya katakan, ia kelihatan seperti medan perang pada masa Perang Dunia Pertama," kata Brown.

Susulan timbulnya ancaman tanah runtuh, pihak berkuasa daerah mengarahkan 7,000 penduduk di kawasan itu meninggalkan rumah mereka sebelum hujan turun dan meminta 23,000 yang lain berpindah secara sukarela.

Pusat penempatan telah ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada mangsa banjir lumpur dan tanah runtuh.

Kebakaran hutan bulan lalu, yang terbesar dalam sejarah California, membuatkan kawasan itu terdedah kepada kejadian gelongsoran lumpur.