Sekurang-kurangnya 17 orang maut dalam sebuah kelab malam di Caracas, Venezuela pada awal pagi Sabtu gara-gara seorang individu mengaktifkan bom gas pemedih mata di kelab tersebut.

Menurut Menteri Dalam Negeri Venezuela, Nestor Reverol, lebih 500 pengunjung berada di kelab Los Cotorros yang terletak di El Paraiso pada kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan.

Pada ketika itu juga satu pertengkaran turut berlaku antara beberapa pengunjung, sehingga mencetuskan rempuhan di pintu kelab.

Situasi di luar kelab malam Los Cotorros di El Paraiso selepas 17 orang maut akibat seorang individu mengaktifkan bom pemedih mata di kelab tersebut pada Sabtu. - REUTERS
Sebelas dilaporkan maut akibat sesak nafas, manakala enam lagi individu belum dikenal pasti punca kematian mereka.

Setakat ini, pihak berkuasa Venezuela telah menahan tujuh suspek, dan siasatan kejadian masih dijalankan.