Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun antara yang terkorban dalam insiden letupan bom di luar sebuah sekolah di selatan Thailand pada Selasa.

Menurut pihak berkuasa Thailand, bom itu dipercayai disembunyikan di dalam tangki minyak sebuah motosikal dan diletupkan ketika murid dan guru berbaris pada awal pagi untuk masuk ke sekolah yang terletak di daerah Tak Bai di wilayah Narathiwat.

"Dua orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak tadika dan seorang dewasa yang mungkin bapanya," kata seorang anggota polis di Tak Bai, yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pekerja hospital mengesahkan angka kematian dan menambah bahawa 10 orang dewasa lain turut cedera dalam letupan itu, termasuk orang awam dan empat pegawai polis.

Talian telefon ke kawasan pedalaman telah dipotong pasukan keselamatan ekoran tindakan pemberontak yang sering menggunakan isyarat selular untuk meletupkan bom.

Lebih 6,500 orang – majoritinya orang awam - telah dibunuh oleh pemberontak dan pasukan keselamatan Thailand sejak 2004 dalam insiden pengeboman dan tembakan di wilayah selatan yang bersempadanan dengan Malaysia.

Polis dan tentera mengiringi guru dan kanak-kanak ke sekolah di 'zon merah' yang dilabel paling berbahaya di selatan.

Pemberontak di negara itu sering menyasarkan sekolah dan guru dengan sejumlah besar tenaga pengajar telah dibunuh, ada kalanya di hadapan murid-murid.