SATU pasangan yang dalam perjalanan ke Costa Rica dari Amerika Syarikat, berdepan situasi yang mengelirukan apabila diminta turun dari pesawat United Airlines yang dinaiki mereka, pada Sabtu.

Portal NBC melaporkan Michael Holh, dan tunangnya, Amber Maxwell, dari Houston, Texas, dalam perjalanan ke Liberia, Costa Rica, untuk majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung Khamis ini.

Holh memberitahu mereka merupakan penumpang terakhir yang menaiki pesawat di George Bush Intercontinental Airport.

Namun sebaik menaiki pesawat, pasangan itu mendapati seorang lelaki sedang tidur di tempat duduk mereka.

Enggan membangunkan lelaki itu, mereka membuat keputusan untuk duduk di tempat bersebelahan.

"Kami fikir ia bukan masalah kerana pesawat tidak penuh," cerita Holh kepada NBC.

Mereka kemudiannya didekati seorang krew penerbangan yang bertanyakan jika mereka berada di tempat duduk yang betul.

Pasangan itu kemudiannya menjelaskan situasi mereka dan bertanya jika mereka boleh mendapatkan upgrade.

Permintaan itu ditolak krew berkenaan yang meminta mereka kembali ke tempat duduk asal.

Permintaan itu dipenuhi tanpa soal, namun mereka kemudiannya didatangi oleh seorang pengawal keselamatan yang meminta mereka turun dari pesawat.

"Kami turun dari pesawat itu tanpa membuat kecoh, tapi kami tidak faham apa masalah sehingga kami diminta turun," kata Holh.

Satu kenyataan yang dikeluarkan United Airlines kepada media memaklumkan tindakan itu diambil kerana pasangan itu berkeras mahukan upgrade dan enggan kembali ke tempat duduk mereka.

Syarikat penerbangan itu dilaporkan telah membantu pasangan itu membuat tempahan kembali pada Ahad.

Holh memberitahu dia dan tunangnya tidak akan terbang bersama United Airlines lagi selepas ini, dan menyifatkan pengalaman yang dilaluinya sebagai sangat pelik.