Bekas Presiden Singapura, SR Nathan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Besar Singapura akibat diserang strok.

Pejabat Perdana Menteri Singapura berkata beliau mengalami strok awal pagi ini, lapor Bernama.

Nathan, 92, yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada 1988, dilapor mengalami strok pada bulan April tahun lalu.

Beliau merupakan presiden Singapura yang paling lama berkhidmat iaitu selama dua penggal dari 1999 hingga 2011.

Beliau secara rasmi melepaskan jawatan sebagai presiden keenam republik itu pada 31 Ogos 2011 dan digantikan oleh presiden sekarang Tony Tan Keng Yam.

Selepas berakhir penggal sebagai Presiden, beliau menyandang jawatan Felo Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara dan di fakulti Sains Sosial di Singapore management University.

Nathan juga pernah menjadi Duta Besar Singapura ke Amerika Syarikat dari tahun 1990 hingga 1996.