Empat hari berada di tanah kelahiran mungkin belum cukup untuk mengubat kerinduan, namun pemenang anugerah nobel, Malala Yousafzai terpaksa meninggalkan lambaian terakhirnya dan kembali ke Britain hari ini.

Pegawai keselamatan penerbangan, Akmal Kayani, memaklumkan Malala dan keluarganya diiringi oleh pasukan konvoi keselamatan ke Lapangan Terbang Islamabad sebelum dijangka berlepas ke London.

Gadis berusia 20 tahun itu sebelum ini sempat berkongsi keindahan tanah airnya di laman Twitter sekali gus menzahirkan rasa haru apabila dapat melihat tanah kelahirannya itu sekali lagi.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan pertama beliau selepas insiden ditembak oleh lelaki bersenjata dari puak Taliban pada 2012 yang nyaris meragut nyawanya.

Dalam kejadian berkenaan, Malala dilaporkan diserang lelaki bersenjata bertopeng yang menembak kepalanya ketika pulang dari sekolah.

BACA: Sejak insiden ditembak Taliban, ini perasaan Malala apabila kali pertama jejak semula ke Pakistan

BACA: Terubat rindu, Malala Yousafzai akhirnya pulang ke Pakistan

Malala bagaimanapun segera diterbangkan keluar dari Pakistan untuk menerima rawatan lanjut.

Pada 2014, Malala menjadi penerima Hadiah Nobel Keamanan termuda, yang menghargai usahanya dengan Malala Foundation, iaitu sebuah badan kebajikan yang diasaskan untuk menyokong kumpulan pendidikan yang memberi tumpuan ke atas Pakistan, Nigeria, Jordan, Syria dan Kenya.