ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 1 Jun 2020.

1) Kematian George Floyd: Peguam Negeri ketuai pendakwaan

Pendakwaan kes pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd akan diketuai Peguam Negeri Minnesota, Keith Ellison. Ellison menerusi kenyataan di Twitter memaklumkan, beliau bersedia memikul tugas itu atas dasar tanggungjawab dan peri kemanusiaan, bagi membolehkan keadilan diberi kepada Floyd.

2) Sebahagian sekolah di England dibuka semula

Sebahagian sekolah di England mula dibuka semula kepada beberapa kumpulan pada Isnin. Murid-murid Tahun 1 dan Tahun 6 kembali semula ke sekolah selepas 10 minggu diarahkan duduk dirumah susulan pandemik COVID-19.

3) Thailand buka semula panggung wayang, pantai kepada umum

Thailand terus melonggar sekatan perintah berkurung pada Isnin selepas data rasmi kementerian kesihatan menunjukkan tiada peningkatan jangkitan baru kes COVID-19.

Rakyat negara Gajah Putih itu kini boleh kembali ke pusat gimnasium, kompleks sukan selain melalukan urutan tradisional dan menonton wayang.

4) Jakarta: Penumpang MRT dilarang bersembang, bercakap guna telefon bimbit

Pengguna perkhidmatan pengangkutan MRT di Jakarta, dilarang bersembang dengan penumpang lain atau berbual menggunakan telefon bimbit, bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

MRT Jakarta, mercu baharu pengangkutan Jakarta itu mula beroperasi pada 24 Mac 2019, sebelum ini turut menguatkuasakan had jumlah penumpang lebih dari separuh kapasiti tren, jarakan sosial serta pemakaian pelitup muka, sejak Mac lepas.

5) COVID-19: Thailand lapor sifar jangkitan tempatan tujuh hari berturut

Thailand melaporkan sifar jangkitan tempatan COVID-19 sepanjang tujuh hari lepas dengan hanya satu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan wanita Thai yang menjalani kuarantin 14 hari di Chonburi selepas kembali dari Rusia.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thaweesilp Wissanuyothin berkata setakat ini, jumlah kes terkumpul COVID-19 di negara itu ialah 3,082 dengan 57 kematian.

6) Ketika Rumah Putih diserang! Trump pula menyorok dalam 'kubu bawah tanah'

Memasuki hari keenam demonstrasi akibat perbezaan politik dan sentimen warna kulit di Amerika Syarikat (AS), Rumah Putih pula turut diserang.

Ketika berlaku pergelutan antara rakyat dan polis yang mula membaling batu ke arah bangunan pentadbiran eksekutif itu, Presidennya, Donald Trump pula dilaporkan 'menyorok' di dalam sebuah ‘kubu bawah tanah’ di bangunan itu.

7) Nenek 100 tahun pulih COVID-19, dipercayai mangsa tertua selamat di Indonesia

Ketika kadar kematian akibat COVID-19 di Indonesia terus meningkat, seorang warga emas berusia 100 tahun dilaporkan berjaya sembuh menjadikannya warga tua pada usia itu yang berjaya melawan pandemik di negara itu. Wanita dikenali sebagai Kamtim dibenarkan keluar dari hospital pada minggu ini selepas sebulan menjalani rawatan di bandar tempatnya menetap, di Surabaya.

8) Arab Saudi benarkan solat di masjid selepas lebih dua bulan

Masjid di seluruh Arab Saudi, termasuk Masjid Nabawi di Madinah, dibuka semula pada Ahad, di bawah fasa melonggarkan sekatan secara berperingkat, susulan penularan pandemik COVID-19. Media antarabangsa melaporkan, selepas lebih dua bulan ditutup, jemaah dibenarkan memasuki masjid, kecuali yang terletak di kota suci Mekah, untuk solat Subuh pada Ahad.