Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas seluarnya tersangkut pada susur tangan eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Ranchi, Timur India.

Menurut laporan portal dailymail.co.uk, kanak-kanak berusia 12 tahun itu dilihat bermain-main dengan susur tangan eskalator itu menggunakan badannya sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan remaja itu seperti sengaja menekan anggota badan pada susur tangan eskalator ketika ia sedang beroperasi.

Beberapa minit kemudian, seluarnya tersangkut pada susur tangan eskalator dan tubuhnya kemudian ditarik bersama eskalator yang masih bergerak.

Mangsa cuba berpaut pada susur tangan namun kelajuan eskalator itu menyebabkan badannya hilang keseimbangan lalu terjatuh dari ketinggian 15 meter (50 kaki).

Pengunjung yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal.

Menurut peraturan ditetapkan kerajaan India, semua pusat membeli-belah perlu mempunyai jaring keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.