ITALI akan membenarkan kilang dan tapak pembinaan dibuka semula selain memberi kebenaran aktiviti ziarah keluarga secara terhad bulan depan, dalam usaha negara itu memansuhkan perintah kawalan pergerakan yang paling lama di Eropah.

Menurut Perdana Menteri, Giuseppe Conte dalam laporan Reuters, Itali kini sedang dalam fasa kedua menghadapi pandemik itu dengan langkah membuka semula ekonominya tanpa mencetus gelombang jangkitan baharu.

Katanya, mereka akan berdepan cabaran yang kompleks dan kerajaan sudah mempunyai pelan untuk memulakan semula aktiviti ekonomi yang diselaraskan sejak awal Mac lalu.

Sambil mengakui, virus itu akan kekal dalam masyarakat, beliau berkata kerajaan dan rakyat perlu mengambil langkah pencegahan tambahan bagi mengekang penularannya.

Aktiviti perkilangan, syarikat pembinaan dan pemborong akan dibenarkan dibuka semula bermula 4 Mei diikuti dengan peruncit dua minggu kemudian.

Restoran dan bar pula akan dibenarkan beroperasi sepenuhnya dari awal Jun.

Pembukaan semula perniagaan itu dibenarkan namun dengan syarat semua syarikat terlibat perlu mematuhi protokol keselamatan di tempat kerja.

Selain itu, taman rekreasi juga dibuka semula untuk lawatan keluarga secara terhad dan pengebumian dibolehkan dengan kehadiran kurang daripada 15 individu.

Muzium, perpustakaan akan kembali dibuka pada 18 Mei dan aktiviti latihan skuad sukan akan dibenarkan semula.

Bagaimanapun, sekolah akan tetap ditutup sehingga tahun akademik baharu pada September.