Sebuah mahkamah di Perancis melancarkan siasatan mengenai cara kerajaan negara itu menangani penularan pandemik COVID-19.

Antara lain, Pendakwa Raya Kanan Francois Molin berkata, fokus siasatan tertumpu kepada tiga pemimpin kanan, termasuk bekas Perdana Menteri, Edouard Philippe.

Pada Jumaat, Philippe meletak jawatan selepas dikritik kesatuan dan golongan doktor.

Beberapa jam selepas itu, mahkamah yang bertanggungjawab menangani rungutan salah guna dalam kementerian, memaklumkan ia akan memulakan siasatan rasmi, sekali gus membuka jalan kepada satu inkuiri mengenai cara kerajaan memberi respons kepada pandemik COVID-19.

Selain Philippe, turut akan disiasat ialah Agnes Buzyn, yang berundur sebagai menteri kesihatan pada Februari lepas dan penggantinya, Oliver Veran.

Selama tiga tahun Presiden Emanuel Macron berkuasa, COVID-19 menguji kepimpinan Kabinetnya yang didakwa tidak cekap menangani kekurangan bekalan perubatan untuk pandemik itu.

Pemerhati melihat rombakan Kabinet secara besar-besaran dilakukan bagi mengelak politiknya lumpuh.

Perancis melaporkan sebanyak 202,673 kes positif COVID-19 dengan 29,875 kematian.