Dewan Perwakilan, dengan majoriti besar, pada Rabu telah meluluskan rang undang-undang yang mengkehendaki Presiden Donald Trump menghentikan bantuan Amerika Syarikat kepada gabungan tentera pimpinan Arab Saudi dalam peperangan di Yaman.

Rang undang-undang itu kini akan dibentang kepada Senat untuk pertimbangan susulan keputusan undian 248-177, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

"Hari ini adalah hari yang bersejarah. Ini adalah kemuncak usaha perundangan selama beberapa tahun bagi mengakhiri penglibatan kita dalam peperangan Arab Saudi di Yaman," kata wakil Demokratik Ro Khanna, yang mempelopori rang undang-undang itu selepas undian.

Jika Resolusi Kuasa-Kuasa Perang -- sebahagian daripada respons kepada pembunuhan wartawan Washington Post yang merupakan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi -- mampu membersihkan Senat, ia akan dibawa ke meja Trump, di mana ia mungkin berdepan penggunaan kuasa veto.

Rumah Putih sebelum ini telah mengeluarkan ancaman berhubung langkah itu.

Walau apapun, jika ia membersihkan Senat, langkah itu menyaksikan buat julung kalinya, penggubal undang-undang persekutuan menyemak kuasa seorang presiden untuk menggunakan pasukan tentera di bawah rang undang-undang 1973 bagi membolehkan Kongres berbuat demikian jika seorang presiden melibatkan tentera tanpa satu perisytiharan perang yang rasmi.

-- BERNAMA