PUNCA kebakaran di dalam pesawat American Airlines sejurus selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Januari lepas didapati berpunca daripada sebuah e-rokok yang panas.

Jurucakap syarikat penerbangan itu, Ross Feinstein, kebakaran kecil itu berjaya dipadamkan oleh anak kapal, menurut USA TODAY.

American Airlines juga telah mengeluarkan kenyataan kepada Newsweek yang menyatakan kesemua 138 penumpang dan enam anak kapal terselamat dalam insiden terbabit.

"Sejurus selepas Pesawat 168 dari Las Vegas mendarat di Chicago, sebuah e-rokok milik seorang penumpang menjadi panas secara tiba-tiba dan ini menyebabkan satu kebakaran kecil di dalam pesawat," kata kenyataan itu.

"Anak kapal kami berjaya memadamkan kebakaran tersebut dan pesawat terbabit dengan perlahan berhenti di terminal.

"Kami sangat berterima kasih kepada anak kapal kami yang bertindak dengan pantas bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin," tambahnya lagi.

Pentadbiran Keselamatan Pengankutan Amerika Syarikat membenarkan peranti e-rokok di dalam pesawat, namun tidak membenarkannya dimasukkan dalam daftar masuk bagasi.