Satu gelombang seismik misteri telah menggegarkan dunia pada 11 November lalu, namun anehnya tiada siapa pun yang menyedarinya.

Fenomena ini sekali gus mengejutkan para saintis.

Sehingga kini, pakar masih meneliti punca tercetusnya itu, sama ada disebabkan oleh ujian nuklear, kapal selam atau gunung berapi.

National Geographic menggambarkan insiden ini sebagai 'gegaran misteri' yang berlaku di seluruh dunia, lapor portal The Sun.

Gelombang yang bermula berhampiran Mayotte, sebuah pulau Perancis antara Afrika dan utara Madagascar itu, menyebabkan sensor di Zambia, Kenya dan Ethiopia beralih sebelum ia ditemui di Chile, New Zealand, Kanada dan Hawaii sejauh hampir 17,702 kilometer (km).

Difahamkan, Mayotte yang merupakan pulau kecil dengan populasi 250,000 penduduk telah mengalami gempa sejak Mei lalu.

Kebanyakannya adalah gegaran kecil, namun gempa paling kuat, 5.8 magnitud direkodkan pada 8 Mei lalu.

Pusat Pemerhati Perancis mengesyaki terdapat gunung berapi baharu mungkin terbentuk di luar pantai Mayotte yang wujud hasil daripada aktiviti vulkanik yang tidak aktif selama lebih 4,000 tahun.

"Ia mungkin berlaku akibat pergerakan magma kira-kira 50 km di luar pantai dan dasar laut," menurut agensi itu.

Laporan itu disokong dengan sensor GPS yang mengesan pergerakan Mayotte ke tenggara kira-kira 5 sentimeter dalam tempoh kurang daripada lima bulan.