Berita  | Dunia

Hero tampan dan ternama meninggal dunia di set penggambaran

Hero tampan dan ternama meninggal dunia di set penggambaran
Kematian Godfrey Gao mengundang kesedihan dan kedukaan yang mendalam dalam kalangan peminatnya. - Instagram @godfreygao
DUNIA hiburan antarabangsa dikejutkan dengan berita sedih pemergian aktor terkenal kelahiran Taiwan-Kanada, Godfrey Gao semasa menjalani penggambaran bagi program realiti popular di Taiwan, ‘Chase Me’.

Kematian aktor dan juga model terkenal ini disahkan oleh agensi JetStar Entertainment, tempat di mana Gao bernaung, yang pada awalnya menyatakan bahawa Gao telah pengsan semasa sesi penggambaran.

Pada mulanya, Gao, 35, dipercayai telah pengsan semasa sesi penggambaran sedang dijalankan yang dipercayai sekitar jam 2 pagi dan terus tidak sedar diri.

Mendiang kemudiannya dikejarkan ke hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir tiga jam selepas itu.

Sementara itu, pelakon Hong Kong, William Chan yang juga memegang watak utama bagi program ‘Chase Me’  mendakwa, di saat-saat akhir hayat rakannya itu dia dapat melihat Gao seperti sedang berlari dan kemudiannya kelihatan seperti mengah.

Selepas itu, jantung Gao juga dipercayai telah berhenti berdegup selama beberapa minit sebelum ia kembali seperti biasa sebelum dikejarkan ke hospital.

Ekoran itu, ramai netizen yang mengecam program ‘Chase Me’ itu kerana memberikan tugasan yang berat kepada peserta selaku artis-artis tempatan sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.

Para netizen juga menasihati agar mana-mana artis yang terlibat dalam program realiti tersebut supaya mempertimbangkan semula demi kesihatan dan aspek keselamatan mereka sendiri.

Gao yang juga model fesyen ternama setinggi 1.93 meter itu merupakan model lelaki Asia pertama yang muncul dalam kempen iklan jenama mewah dari Perancis, iaitu Louis Vuitton pada 2011.

Sejak itu, dia juga telah membintangi  beberapa filem Hollywood antaranya ialah The Mortal Instruments: City of Bones pada 2013 dan membintangi sebuah filem romantik di China, iaitu Remembering Lichuan pada 2016.


Tag: Aktor Taiwan, Godfrey Gao, Hollywood, Chase Me, meninggal dunia, keselamatan, filem, model



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.