Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang oleh ibunya, akhirnya ditemui dalam beg pakaian.

Menurut polis, Dejah Hunt, maut akibat dipukul objek tumpul dan mayatnya ditemui dalam beg pakaian yang disorok di dalam sebuah almari.

Ibu kanak-kanak terbabit, Aisha Yvonne Thomas pada awalnya menghubungi pihak polis bagi melaporkan kehilangan anaknya pada Khamis lalu.

Thomas mengatakan anak kecilnya hilang setelah merayau-rayau ketika dalam perjalanan ke kedai bersamanya dan anak-anaknya yang lain.

Pencarian dilakukan pihak polis menemukan mangsa di apartmen milik Thomas, di Las Vegas.

Ibu berusia 29 tahun berkenaan kemudian mengaku memukul anaknya kerana kencing di dalam seluar.

Panik melihat anaknya rebah tidak sedarkan diri, wanita itu bertindak membungkus tubuh anaknya menggunakan plastik sampah lalu disumbat ke dalam beg pakaian.

Thomas kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan pada 1 Oktober depan bagi menentukan sama ada dia akan dibicarakan atas tuduhan membunuh.

Peguambela Thomas berkata, wanita itu akan mengaku tidak bersalah.

Ketika kejadian, ayah kanak-kanak malang tersebut dilaporkan berada di penjara ekoran aduan keganasan domestik, empat hari sebelum kematian Hunt.

Sementara itu, tiga lagi anak pasangan terbabit kini diletakkan di bawah jagaan pihak kebajikan masyarakat.