SEORANG ibu di St. Louis, Missouri di Amerika Syarikat dipercayai membunuh diri selepas menembak suami dan bayi yang baru berusia tiga bulan akibat dari 'meroyan'.

Mary Jo Trokey, 32 tahun, dikatakan menghidap penyakit Postpartum Psychosis dan itu adalah punca dia menembak suaminya, Matthew Trokey, 33 tahun, dan bayi perempuannya, Taylor Rose, kata pihak polis.

Postpartum Psychosis merupakan penyakit yang jarang dihidap oleh seorang wanita yang baru lepas bersalin dan boleh menyebabkan mereka mengalami delusi dan berkelakuan tidak rasional.

Penyakit itu seakan sama dengan Postpartum Depression, tetapi berlainan apabila di mana penyakit ini sering terjadi kepada ibu yang baru melahirkan anak. Simptomnya termasuk mengalami kemurungan, marah dan sikap bimbang yang teruk.

Kedua-dua penyakit ini mempunyai potensi untuk seorang ibu mencederakan bayi mereka yang baru dilahirkan.

Menurut pihak polis, ketiga-tiga mangsa itu ditemui pada pagi Jumaat lalu dengan kesan tembakan apabila jiran mereka sedar akan kehilangan keluarga ini.

Khabar hiba itu mengejutkan jiran tetangga kerana keluarga ini dianggap sebagai satu keluarga yang sempurna kerana sering ke gereja seperti yang dipetik dalam laporan Daily Mail.